Hala tuju politik Rafizi terus jadi perhatian

KEKALAHAN Datuk Seri Rafizi Ramli kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diumumkan pada Kongres Nasional parti itu di Johor Bahru minggu lalu, mencetuskan persoalan baharu mengenai hala tuju politik pemimpin itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Rafizi hanya meraih 3,866 undi, jauh ketinggalan di belakang Nurul Izzah yang memperoleh 9,803 undi, sekali gus menamatkan penggal kepimpinan beliau selepas dua tahun menyandang jawatan itu.
Meskipun keputusan itu mengejutkan banyak pihak, Rafizi dalam kenyataan susulan menyuarakan rasa lega kerana tidak lagi terbeban dengan gelagat serta tekanan dalam kalangan kepimpinan politik.
“Saya tidak terlalu kecewa. Malah, saya berasa lega kerana akhirnya saya boleh kembali kepada kehidupan peribadi, jauh daripada kerenah kuasa,” katanya seperti dilaporkan media.
Beliau turut mengakui terdapat beberapa isu teknikal sepanjang proses pemilihan yang menurutnya belum ditangani dengan teliti sejak awal.
Dalam kenyataannya juga, Rafizi menzahirkan rasa terharu terhadap sambutan dan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong yang tidak dikenali, walaupun akhirnya keputusan tidak berpihak kepada pasukannya.
Namun begitu, kekalahan Rafizi tidak semestinya mengakhiri pengaruh beliau dalam politik nasional.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam satu hantaran menyuarakan keyakinan bahawa Rafizi masih relevan dan wajar diberikan ruang untuk menyertai konsensus politik nasional yang kini dibincangkan sebagai ‘payung besar’.
“Kekalahan Rafizi telah diduga, namun beliau tetap bertanding dan melawan. Rafizi sesuai menyertai ‘payung besar’ yang bakal membawa transformasi sebenar menjelang PRU16,” ujarnya.
Cadangan itu selari dengan gagasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mencadangkan pembentukan konsensus nasional merentas parti, kaum dan agama, bertujuan menyatukan rakyat serta memulihkan maruah politik negara.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan sebelum ini dikenali sebagai arkitek strategi kempen berasaskan data yang membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan dalam dua pilihan raya umum lalu.
Dengan pengaruh yang masih luas dalam kalangan penyokong reformasi, kedudukan beliau masih menjadi tumpuan meskipun tidak lagi memegang jawatan kanan dalam parti.
Buat masa ini, Rafizi masih belum mengumumkan sebarang keputusan mengenai hala tuju politiknya, namun beliau menegaskan akan terus memperjuangkan prinsip yang dipegang selama ini, sama ada dari dalam parti atau luar sistem.
Penulis berpandangan, kekalahan Rafizi mungkin membuka ruang kepada pengukuhan semula kepimpinan muda dalam PKR yang dilihat lebih mesra kepada pendekatan inklusif dan penyatuan antara generasi.
Meskipun kehilangan jawatan, Rafizi masih memiliki nilai strategik dari segi idea dan pendekatan berasaskan data yang boleh dimanfaatkan oleh mana-mana blok politik, khususnya dalam merangka strategi menghadapi PRU16.
Pemikiran beliau yang cenderung kepada penyelesaian teknokratik dan bebas daripada retorik lama menjadikan beliau figura unik dalam kalangan pemimpin politik semasa.
Selain itu, keputusan pemilihan ini turut mencerminkan penilaian akar umbi terhadap keupayaan pemimpin menangani isu rakyat pasca pandemik dan tekanan ekonomi yang semakin mencabar.
Apa pun hala tuju seterusnya, perjalanan politik Rafizi dijangka terus diperhatikan ramai, terutama oleh generasi muda yang mendambakan naratif dan pendekatan baharu dalam landskap politik tanah air.
* Mohd Azlim Zainury ialah Wartawan Sinar Harian Selangor, Kuala Lumpur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

