Semarak warisan memanah tradisional, KBS salur RM100,000

KBS menyalurkan geran padanan sukan sebanyak RM100,000 disampaikan Hannah bagi menjayakan kejohanan melibatkan lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara
KBS menyalurkan geran padanan sukan sebanyak RM100,000 disampaikan Hannah bagi menjayakan kejohanan melibatkan lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara
A
A
A

KEJOHANAN Memanah Tradisional Antarabangsa disifatkan sebagai usaha penting dalam memelihara warisan budaya rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu, sambil menggalakkan penyertaan generasi muda dalam sukan warisan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, inisiatif seperti ini perlu diteruskan agar tradisi tidak lenyap begitu sahaja.

“Ini bukan sekadar kejohanan sukan, tetapi kesinambungan kepada warisan tradisi rakyat Malaysia. Kita perlu galakkan kanak-kanak menyertai,” katanya ketika hadir ke Majlis Pelancaran Road to World Historical Archery Championships 2025 di Taman Rimba Kiara, di sini pada Ahad.

Menurut beliau, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyalurkan geran padanan sukan sebanyak RM100,000 bagi menjayakan kejohanan selama dua hari itu yang menghimpunkan lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara.

Hannah (tiga dari kanan) hadir ke Majlis Pelancaran Road to World Historical Archery Championships 2025 di Taman Rimba Kiara, di sini pada Ahad
Hannah (tiga dari kanan) hadir ke Majlis Pelancaran Road to World Historical Archery Championships 2025 di Taman Rimba Kiara, di sini pada Ahad

Kejohanan ini merupakan sebahagian daripada persediaan ke Kejohanan Memanah Bersejarah Dunia 2025 di Gyula, Hungary, yang menyaksikan Malaysia mengetuai penyertaan pasukan gabungan ASEAN buat julung kali.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabran Abd Bahar berkata, pertandingan kali ini mencatat sejarah dengan penyertaan 10 negara, termasuk enam dari ASEAN.

“Ini adalah pertandingan pertama menggunakan format rasmi HDH Antarabangsa, digabungkan dengan format khas 3D KL oleh Persatuan Memanah Tradisional Kuala Lumpur (PMTKL),” jelasnya.

Tambah beliau, penyertaan pemanah cilik turut mencuri tumpuan apabila berjaya bersaing secara kompetitif bersama pemanah dewasa. Kejohanan ini juga akan memilih dua pemanah terbaik dari Malaysia dan dua dari ASEAN untuk mewakili rantau ini ke Hungary pada Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Malaysia telah diumumkan sebagai Pengerusi Memanah Bersejarah ASEAN, bersempena kepengerusian ASEAN 2025. Inisiatif ini turut disokong oleh pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Kejohanan ini menjadi wadah menyatukan diplomasi sukan, warisan dan pembangunan belia serantau, sejajar dengan tema “Memanah Warisan Menyatukan ASEAN”.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!