Pasang kamera badan bendung rasuah sektor perbankan

SHAH ALAM - Pemasangan kamera badan dalam kalangan pegawai bank boleh dilaksanakan sebagai satu langkah inovatif untuk membendung jenayah rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor kewangan negara.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, ia boleh membantu meningkatkan ketelusan dan integriti dalam urusan harian antara pegawai bank dan pelanggan.
"Kamera badan dapat merakam segala interaksi yang berlaku dalam bilik perundingan atau ketika pemprosesan dokumen penting. Ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada pelanggan, tetapi juga kepada pegawai bank itu sendiri.
"Langkah ini juga boleh bertindak sebagai pencegah awal terhadap sebarang cubaan menyogok atau memanipulasi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, lima lelaki termasuk seorang bekas pegawai bank ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah sebanyak RM300,000 bagi meluluskan pinjaman kewangan bernilai RM11.3 juta di Kota Kinabalu, Sabah.
Kesemua individu berusia sekitar 20-an hingga 40-an itu ditahan bermula Khamis bagi membantu siasatan lanjut oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes tersebut.
Tambah Hamdan Daniel, beberapa cabaran perlu ditangani sebelum pelaksanaan kamera badan direalisasikan sepenuhnya.
Ujarnya, antara perkara yang perlu diambil kira termasuk isu privasi pelanggan, kos peralatan dan penyelenggaraan serta garis panduan penyimpanan rakaman yang melibatkan maklumat sensitif.
"Beberapa negara maju seperti Korea Selatan dan Singapura telah mula menguji penggunaan kamera badan dalam sektor bukan keselamatan, termasuk urus niaga kewangan, sebagai satu cara untuk mendidik budaya kerja telus dan beretika.
"Dengan tekanan awam yang semakin meningkat terhadap ketelusan institusi kewangan, pemasangan kamera badan mungkin menjadi satu daripada solusi berani dan berkesan jika dilaksanakan secara berhemah serta menyeluruh," katanya.
Menurutnya, isu rasuah terus menghantui kita rakyat Malaysia walaupun telah berbagai usaha dilakukan kerajaan namun masih ada lagi yang berani melakukan perbuatan yang keji serta mencemarkan imej industri kewangan.
Tegasnya, semua pihak perlu mengambil cakna dan memainkan peranan aktif dalam membanteras jenayah rasuah demi membebaskan negara daripada belenggu yang kian mencengkam masyarakat kita.
"Nampaknya semua sektor telah dijangkiti virus jenayah rasuah ini yang semakin merebak dalam masyarakat kita. Malahan kes berlaku itu menunjukkan bahawa hampir semua lapisan peringkat umur terbabit.
"Sepatutnya perkara ini tidak berlaku jika setiap ahli masyarakat mementingkan integriti yang tinggi sebagai perisai untuk menjauhi amalan rasuah yang akan menganggu gugat ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

