Shuhaily dikembalikan kepada PDRM - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution - Foto fail Bernama
Saifuddin Nasution - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah dikembalikan semula kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu dan memaklumkan keputusan tersebut telah dibuat minggu lalu. 

“Sudah, sudah. Kita buat keputusan untuk kembalikan beliau daripada peminjaman AKPS kepada polis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Khamis.

Menurutnya, penempatan Mohd Shuhaily di PDRM akan disusun semula oleh PDRM kelak. 

"Kita kembalikan beliau ke pasukan polis dan polis akan menyusun kemudian," jelas Saifuddin. 

Mohd Shuhaily, 54, sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selama tiga tahun bermula 2023 dan dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Kes berkenaan susulan rakaman video tular yang memaparkan Mohd Shuhaily memarahi dua anggota yang berpakaian preman di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Mohd Shuhaily sebelum ini menjelaskan kejadian itu berlaku ketika beliau bersama pasukan melakukan operasi penguatkuasaan bersama pasukan keselamatan penerbangan (AVSEC) KLIA bagi menangani kegiatan sindiket yang didakwa melibatkan warga asing.

Artikel Berkaitan:

Kedudukan Mohd Shuhaily menjadi persoalan sebagai orang nombor satu agensi itu menjadi tanda tanya apabila beliau tidak hadir pada majlis Majlis Sambutan Hari Sambutan Ulang Tahun Ke-2 AKPS yang berlangsung di sebuah hotel, di Sepang baru- baru ini. 

Sementara itu, ditanya mengenai kekosongan jawatan Ketua Pengarah AKPS, Saifuddin menjelaskan ia akan diisi oleh pegawai polis namun tidak memperincikannya.

"Polis," katanya ringkas. 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!