'Rumah terbakar Jun lalu, tak sangka dapat sambut raya di rumah baharu'

Seng Chong (dua dari kanan) menerima replika kunci sebagai gimik penyerahan rumah baharu daripada Yayasan Perak di bawah Program Sayangi Rumahku.
Seng Chong (dua dari kanan) menerima replika kunci sebagai gimik penyerahan rumah baharu daripada Yayasan Perak di bawah Program Sayangi Rumahku.
A
A
A

TAPAH - Sambutan Tahun Baharu Cina bagi seorang warga emas tahun ini menjadi lebih bermakna apabila diraikan di kediaman baru selepas rumahnya musnah dalam kebakaran pada Jun lalu.

Tham Seng Chong, 63, dari Kampung Baru Bukit Pagar di sini mengakui sebak dan terharu kerana hasratnya beraya di rumah sendiri tercapai.

Rumah dilengkapi tiga bilik itu diterima daripada kerajaan negeri melalui Yayasan Perak di bawah Program Sayangi Rumahku dengan kos RM75,000.

"Saya ingat tahun ini sudah tak raya sebab tak ada rumah. Tak sangka ada yang sudi buatkan rumah baharu.

"Terima kasih banyak-banyak, saya sangat gembira. Tahun ini saya nak hias rumah, ada masa nak panggil kawan-kawan datang, raya mesti sambut meriah," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng di sini pada Khamis.

Hadir sama, Eksekutif Pembangunan Sosial Yayasan Perak, Muhammad Azri Mohammad Fuzi.

Seng Chong yang masih bujang dan bekerja sebagai buruh kampung berkata, sejak kebakaran berlaku, dia hanya mampu menyewa bilik kecil bagi meneruskan hidup dengan kadar sewa RM150 sebulan.

"Saya tak mahu menyusahkan adik-beradik dengan menumpang rumah kerana mereka pun sudah ramai anak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shin Heng (kiri) bersama Muhammad Azri (kanan) meninjau keadaan rumah baharu milik Seng Chong.
Shin Heng (kiri) bersama Muhammad Azri (kanan) meninjau keadaan rumah baharu milik Seng Chong.

Sementara itu Shin Heng berkata, permohonan bagi membina rumah baharu telah dikemukakan kepada Yayasan Perak mengambil kira keadaan warga emas itu yang tidak berkemampuan.

Katanya, selepas melalui proses tapisan dan kelayakan, permohonan tersebut diluluskan dan kerja-kerja membina rumah kemudiannya siap dalam tempoh lapan minggu.

"Saya gembira rumah ini berjaya disiapkan sebelum Tahun Baharu Cina yang bakal disambut hujung bulan ini.

"Sebelum ini, dia tinggal di rumah papan, tak sampai 10 minit kebakaran, habis semua hangus.

"Sekarang kita bantu buatkan rumah baru di tapak rumah lamanya, lebih selesa dan lebih selamat untuk didiami," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Azri berkata, tahun lalu, Yayasan Perak telah meluluskan 17 permohonan bina baharu dan 120 bagi kerja baik pulih kediaman di seluruh negeri.

"Permohonan ini dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan RM2.7 juta yang diberikan kerajaan negeri kepada Yayasan Perak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!