Aktiviti pelacuran tepi jalan terbongkar, tujuh wanita warga Uganda dicekup

Antara suspek yang ditahan dalam serbuan dijalankandi kawasan sekitar hotel bajet di Jalan Nagasari, Kuala Lumpur pada Ahad.
Antara suspek yang ditahan dalam serbuan dijalankandi kawasan sekitar hotel bajet di Jalan Nagasari, Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kegiatan pelacuran yang ditawarkan di kaki lima hotel bajet dan lorong gelap sekitar ibu kota terbongkar apabila tujuh gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Uganda dicekup dalam Op Noda KL Strike Force pada Ahad.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan sekitar hotel bajet di Jalan Nagasari.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua wanita berusia antara 25 hingga 42 tahun itu disyaki menawarkan khidmat seks kepada lelaki warga asing dengan bayaran antara RM150 hingga RM200 bagi setiap perkhidmatan.

"Seramai 33 individu diperiksa dalam operasi bermula jam 11 malam hingga 4 pagi itu, membabitkan warga Uganda, Bangladesh, Indonesia, China serta seorang wanita tempatan.

"Hasil pemeriksaan mendapati tujuh wanita warga Uganda disyaki aktif mencari pelanggan di kawasan kaki lima dan lorong berhampiran hotel,” katanya ketika pada Ahad.

Katanya, kesemua wanita warga Uganda yang ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran secara haram.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui 12 keping kondom, dua gulung tisu dan wang tunai RM450 yang disyaki hasil aktiviti berkenaan,” katanya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 20(1)(b) Undang-undang Kecil (UUK)," katanya.

Menurutnya, kesemua tangkapan dan barangan rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) daerah terlibat untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Dalam operasi sama, JIM menumpukan pemeriksaan ke atas pendatang asing tanpa izin manakala DBKL mengambil tindakan terhadap penjaja warga asing dan premis tanpa lesen.

"DBKL turut mengeluarkan satu kompaun dan lima sitaan atas pelbagai kesalahan yang dikesan sepanjang operasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!