‘Macam mana Manchester United boleh jual Scott McTominay, saya sendiri pun tidak faham’

McTominay ukir nama di Napoli selepas berhijrah dari Manchester United

McTominay meraikan jaringan gol pembukaan Napoli ketika berdepan Cagliari dalam aksi Serie A di Stadium Diego Armando Maradona, Naples. Foto: AFP
McTominay meraikan jaringan gol pembukaan Napoli ketika berdepan Cagliari dalam aksi Serie A di Stadium Diego Armando Maradona, Naples. Foto: AFP
A
A
A

BEKAS tonggak Manchester United, Scott McTominay sudah pun dianggap wira di Napoli selepas musim cemerlangnya menjaringkan gol demi gol, namun ketika rebah ke bumi sambil menitiskan air mata kegembiraan selepas membantu kelab itu menjuarai Serie A, statusnya sebagai legenda kelab kini termeterai.

Pemain tengah kebangsaan Scotland itu meledak gol ke-12 musim ini dengan satu voli akrobatik yang menarik untuk membuka jaringan menentang Cagliari, sebelum bekas rakan sepasukan di Manchester United, Romelu Lukaku, mengesahkan kemenangan dengan gol kedua di Stadium Diego Armando Maradona.

Kemenangan di laman sendiri itu memastikan Napoli menewaskan pencabar terdekat, Inter Milan finalis Liga Juara-Juara dalam perebutan kejuaraan liga, sekali gus menghadiahkan gelaran Serie A keempat dalam sejarah kelab.

Beberapa saat selepas wisel penamat dibunyikan pemain berusia 28 tahun itu diumumkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Serie A 2024-25.

“Saya hilang kata-kata. Ia sungguh luar biasa. Pengorbanan yang diberikan setiap pemain dalam pasukan ini amat besar.

“Penyokong juga layak untuk kejayaan ini kerana mereka menyokong kami sejak hari pertama. Dapat merasai pengalaman ini adalah satu impian,” katanya.

Keputusan meninggalkan Manchester United kelab yang disertainya sejak kecil untuk berhijrah ke Itali musim lalu adalah satu keputusan berani yang terbukti tepat apabila membawa pulangan lumayan.

Di Naples, McTominay dipuji sama seperti legenda agung kelab, Diego Maradona, malah terdapat tatu, bendera, kek didedikasikan kepadanya.

Tidak kurang juga penyokong yang mengenakan kilt sebagai penghormatan kepada bintang Scotland itu.

Artikel Berkaitan:

Pemain kelahiran Lancaster itu meninggalkan United selepas lebih dua dekad bersama kelab tersebut, bermula dari akademi bola sepak pada usia lima tahun dengan perpindahan bernilai 25.7 juta pound kini dilihat sebagai satu pembelian bijak dan murah.

Bekas pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, turut melahirkan rasa hairan terhadap keputusan kelab itu.

“Macam mana Manchester United boleh jual Scott McTominay, saya sendiri pun tidak faham,” katanya.

Ketika McTominay bersorak dengan kejayaan bersama Napoli, Manchester United pula sedang mengalami musim terburuk sejak pertengahan 1970-an dan bakal menghadapi musim kedua tanpa kelayakan ke pentas Eropah sejak 1985.

“Dia kelihatan begitu bahagia sekarang. Malah ramai staf kejurulatihan di Manchester United boleh berbangga dengan perkembangan yang mereka bantu capai dalam dirinya.

“Scott sudah berada di sana selama empat atau lima tahun, tetapi penghijrahannya ke Napoli dan keyakinan yang diberikan oleh pengurusnya benar-benar melonjakkan prestasinya ke tahap lebih tinggi,” kata bekas pemain tengah Scotland, Don Hutchison.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!