'CEO Batu' disyaki hantar mesej berunsur seksual sejak awal Mei - Polis

GOMBAK - Seorang pempengaruh dikenali 'CEO Batu' dipercayai telah menghantar beberapa imej tidak senonoh serta mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya telah menahan pempengaruh lelaki berusia 22 tahun itu pada Khamis.
Katanya,
"Suspek disyaki telah menghantar beberapa imej tidak senonoh serta mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal Mei lalu.
"Suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, polis memandang serius kesalahan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu terlibat.
Jelasnya, orang ramai diingatkan agar memantau aktiviti dalam talian anak-anak serta melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan kepada pihak berkuasa dengan segera.
"Sebarang maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Aldrin Anak Pegie di talian 012-2549543 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," ujarnya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan penyanyi dan aktivis, Caprice mendedahkan mengenai beberapa kiriman mesej di media sosial yang didakwa berbaur lucah dihantar oleh pempengaruh terbabit kepada remaja bawah umur itu.
Menerusi beberapa hantaran Caprice di laman Instagramnya, dia dihubungi ibu kepada remaja terbabit yang meminta bantuan selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual.
Antara tangkap layar yang dikongsikan adalah kiriman mesej berserta gambar yang tidak senonoh dipercayai dengan niat untuk menunjukkan parut kesan pembedahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!