Penganggur didakwa jual VCD lucah, cetak rompak

MELAKA – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Jumaat atas pertuduhan menjual 343 video cakera padat (VCD) cetak rompak termasuk filem lucah, 15 tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Fauzy Abdullah, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menjual 37 keping VCD lucah pelbagai tajuk di sebuah rumah bernombor di Taman Desa Taming Sari, Sungai Udang, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 5.10 petang, pada 2 September 2010.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda minimum RM10,000 hingga maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh pada masa, tarikh dan lokasi yang sama turut didakwa menjual 306 set VCD pelbagai tajuk tanpa perakuan kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18(4) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18(5) akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 hingga maksimum RM30,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan tertuduh dijamin sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan ditetapkan pada RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan memandangkan tertuduh tidak bekerja serta perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

