Bersatu Labuan gesa lantikan politik PL, LPL lepas jawatan

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman ketika sidang akhbar hari ini.-fotoBERNAMA
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman ketika sidang akhbar hari ini.-fotoBERNAMA
A
A
A

LABUAN - Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman menyeru Pengerusi Perbadanan Labuan (PL) serta Pengerusi dan ahli Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) meletak jawatan kerana mereka merupakan lantikan politik daripada kerajaan terdahulu.

Beliau turut memuji keputusan lima ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang diketuai Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli meletak jawatan, menyifatkannya sebagai bertepatan dengan peralihan kuasa yang sedang berlaku dalam pentadbiran kerajaan pada masa ini.

Lima ahli majlis penasihat itu mewakili parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Datuk Rozman sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan dan empat ahli lain membuat keputusan yang seharusnya dilakukan mereka dan ianya satu tindakan profesional.

“Tindakan mereka itu seharusnya diikuti oleh pengerusi PL yang juga melalui pelantikan politik,” katanya.

Katanya, tindakan tidak melepaskan jawatan akan menimbulkan pelbagai dakwaan dan cemuhan di media sosial selain menjejaskan imej PL sebagai pihak berkuasa tempatan.

Bercakap dalam sidang akhbar di sini hari ini, Suhaili berkata, Pengerusi LPL yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu daripada DAP dilantik oleh Menteri Pengangkutan sebelum ini yang juga daripada DAP manakala ahli lembaga yang lain adalah pemimpin Warisan dan PKR. - Bernama

Artikel Berkaitan: