Israel tabur janji palsu, konvoi bantuan hanya wayang

GENTING GAZA - Penduduk Palestin menunggu tanpa kepastian bantuan kemanusiaan dijanjikan Israel yang kononnya sudah mula dibenarkan memasuki Genting Gaza.
Menurut Tel Aviv, hampir 100 trak bantuan telah diberi akses ke wilayah itu sejak Isnin lalu, sehari selepas kerajaan 'ekstremis' pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu bersetuju untuk menarik balik sekatan ke atas penghantaran bekalan penting ke Gaza.
Ketika ini, kempen pengeboman terus diperhebatkan ke seluruh enklaf berkenaan setelah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan Operasi Kenderaan Perang Gideon pada minggu lalu.
Pemilik bakeri dan pengendali pengangkutan di Gaza mendakwa mereka belum lagi menerima bekalan tepung serta barangan penting lain.
“Sebanyak 25 bakeri dimaklumkan akan menerima bekalan tepung diagihkan Program Makanan Sedunia (WFP). Namun, masih tiada bayang hingga kini,” ujar pemilik bakeri, Abdel-Nasser al-Ajramy.
Rungutan sama disuarakan Sabah Warsh Agha, 67, yang terpaksa bersesak di 'bandar khemah' berhampiran pantai di Bandar Gaza.

“Tiada pun agihan tepung, makanan atau air minuman. Kami biasanya ambil bekalan air dari pam. Tetapi, ia juga sudah tidak berfungsi. Bekalan bahan api turut kehabisan,” katanya.
Umm Talal al-Masri, 53, di Bandar Gaza pula menyifatkan situasi dihadapi penduduk Palestin amat menyeksakan.
“Tiada pihak agihkan apa-apa bantuan kepada kami. Semua orang menanti dengan penuh harapan. Kami terpaksa mengisar lentil dan pasta untuk membuat doh roti. Sukar untuk sediakan satu hidangan makanan sehari,” tambahnya.
Sementara itu, agensi swasta disokong Amerika Syarikat (AS), Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang menggunakan kontraktor untuk proses agihan tersebut memaklumkan proses pengedaran bantuan akan dilakukan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Kira-kira 300 juta makanan akan diedarkan untuk tempoh 90 hari pertama,” jelasnya.
Agensi bantuan sedia ada di Gaza bagaimanapun berkeras menyatakan mereka tidak akan bekerjasama dengan GHF yang didakwa sebagai 'orang tengah' Israel.

Provokasi ekstremis Yahudi
Pada Selasa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan ia telah menghantar kira-kira 90 trak bantuan ke Gaza, tiga hari selepas Israel membenarkan akses terhad untuk penghantaran tersebut.
Pejabat Media Hamas mengesahkan ketibaan sebanyak 87 lori yang akan memenuhi keperluan mendesak penduduk Palestin.
Sejak beberapa hari lalu, sekumpulan pelampau Yahudi bertindak menyekat laluan konvoi trak bantuan di lintasan sempadan Karem Abu Salem (Kerem Shalom) yang menghubungkan dengan Gaza.
Rakaman yang menjadi tular di media sosial menunjukkan mereka sengaja melakukan konfrontasi melampau.
“Kami tidak akan berdiam diri selagi kesemua tawanan di Gaza tidak dibebaskan,” kata salah seorang daripada anggota puak sayap kanan tersebut.
Kumpulan itu mengugut untuk meneruskan sekatan ke atas penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Sementara itu, Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mengesahkan mereka menerima kelulusan daripada Israel untuk menghantar kira-kira 100 lagi trak tambahan ke Gaza.
Tetapi, selepas sekatan selama hampir tiga bulan, hanya lima trak yang memasuki wilayah itu pada Isnin.
Pengarah hubungan luar dan komunikasi di Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Tamara Alrifai menzahirkan rasa kecewa kerana Tel Aviv gagal menunaikan janji mereka.
“Jumlah trak yang dibenarkan memasuki Gaza untuk menampung keperluan penduduk Palestin yang terpaksa menahan lapar selepas sekatan ketat selama 11 minggu amat mengecewakan,” tegasnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

