Dr Mahathir letak syarat jika Muhyiddin mahu jumpa

Mahathir dan Muhyiddin
Mahathir dan Muhyiddin
A
A
A

LANGKAWI - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan syarat sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhasrat mengadakan pertemuan dengan beliau untuk membincangkan kemungkinan berdamai.

Dr Mahathir berkata, beliau bersedia mempertimbangkan bertemu dengan Presiden Bersatu itu sekiranya Muhyiddin menyingkirkan UMNO daripada kerajaan.

Menurutnya, pendirian beliau untuk enggan bekerjasama dengan UMNO adalah konsisten dan tidak berubah.

“Apa sebab saya nak jumpa. Melainkan Muhyiddin sanggup buang semua orang UMNO, bolehlah saya pertimbangkan untuk jumpa,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat cawangan Bersatu Kedawang hari ini.

Dr Mahathir turut mengesahkan menerima surat daripada Muhyiddin yang ingin beliau menetapkan tarikh untuk mengadakan pertemuan.

“Muhyiddin mahu jumpa saya tetapi saya sudah terangkan pendirian saya tidak berubah. Saya janji tidak akan bekerjasama dengan UMNO. Muhyiddin pula janji akan kerjasama dengan UMNO dan terima mereka sebagai parti terbesar dalam kerajaan beliau,” katanya.

Mengulas gesaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang mahu pemimpin atasan berdamai serta kembali bekerjasama, Dr Mahathir tegaskan ia kemungkinan boleh dilakukan sekiranya Muhyiddin sanggup penuhi syarat beliau.

“Saya tak boleh berdamai apabila Muhyiddin bekerjasama dengan individu yang dituduh di mahkamah atas kesalahan jenayah. Jika ahli UMNO mahu masuk Bersatu, saya sedia terima dengan syarat tinggalkan UMNO terlebih dahulu namun Muhyiddin sanggup bekerjasama dengan mereka, itu yang saya tak boleh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir turut pelik dengan sikap Muhyiddin kerana sebelum ini memerangi UMNO namun kini berubah pendirian dan sanggup berkompromi dengan parti itu.

“Dalam mesyuarat beliau selalu cakap tak mahu jadi Perdana Menteri walaupun tidak dicadang sesiapa.

"Tindakan yang beliau ambil nampaknya sengaja dibuat supaya diberikan jawatan itu. Dia cakap tak nak tak betullah, sekarang sanggup letakkan diri bawah telunjuk UMNO, saya tak pernah letakkan diri saya bawah DAP,” katanya.

Menurutnya, DAP yang diberikan jawatan Menteri Kewangan sentiasa merujuk kepada beliau sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita berpegang pada janji kepada rakyat, kita mungkir janji bila rakyat sokong untuk kita dirikan kerajaan tetapi kemudian tubuhkan kerajaan baru melalui pintu belakang, itu mengkhianati rakyat. Kalau rakyat tak mahu kita, tunggu Pilihan Raya Umum (PRU) tukarlah,” katanya.

Mengulas mengenai kesan pergolakan politik terhadap ekonomi, Dr Mahathir berkata, pemulihan ekonomi negara sukar dilakukan akibat beban hutang terdahulu yang mencecah RM1 trilion.

“Semua negara tertekan dengan ekonomi, negara kita tidak terkecuali. Bukan disebabkan DAP, ekonomi merosot, itu hanya alasan pembangkang untuk tolak DAP. Kita dah rancang untuk pulihkan ekonomi namun pemulihan masih tertekan ekoran wabak koronavirus (Covid19),” katanya.