40 tan kayu balak getah dirampas, lori tiada permit

IPOH - Cubaan membawa keluar 40 tan kayu balak getah tanpa permit gagal apabila sebuah lori ditahan dalam operasi khas yang dijalankan oleh Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini.
Dalam operasi itu, pasukan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA telah menahan dan memeriksa lori berkenaan yang disyaki membawa kayu balak getah tanpa dokumen sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen sah untuk membawa muatan kayu berkenaan di dalam kawasan negeri ini.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kayu tersebut telah diambil dari beberapa lokasi sekitar negeri ini dan dimuatkan ke dalam lori tanpa sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa perhutanan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kesemua kayu berkenaan telah dirampas dan diserahkan kepada Pejabat Perhutanan Daerah Kinta/Manjung untuk tindakan lanjut di bawah Enakmen Hutan Negeri Perak 2015.
Menurutnya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan hutan dan sumber semula jadi di negeri ini.
“Briged Utara PGA komited dan konsisten dalam menjalankan operasi penguatkuasaan serta tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti haram seperti ini,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat agar menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!