Dua pemandu lori ditahan bersama pokok bernilai RM3.4 juta

KOTA BHARU - Dua pemandu lori dicekup oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama 26,145 pelbagai jenis pokok bernilai RM3.44 juta yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran Johor dan Perak dalam serbuan berasingan di Rantau Panjang dan Tumpat pada Ahad.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan pertama dilakukan semasa penugasan Op Taring Wawasan pada jam 7.30 malam di hadapan Pos Pok Teh Kana, Rantau Panjang apabila anggota menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 15,000 pokok buluh hijau dan 30 rhu ditemukan di dalam lori terbabit yang bernilai RM1.02 juta termasuk kenderaan.
"Pemandu lelaki yang berusia 23 tahun dipercayai diupah menjadi penghantar tanaman tersebut ke sebuah nurseri di Johor," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurut beliau, rampasan kedua pada pukul 10 malam dilakukan di Jalan Kampung Ana, Tumpat selepas menahan sebuah lori yang dipandu oleh lelaki berusia 42 tahun.
Ujarnya, hasil pemeriksaan telah menemukan 115 pokok bonzai kayu hitam, 3,000 bunga melur, 5,000 bunga papan dan 3,000 bunga jina yang bernilai RM2.42 juta termasuk kenderaan.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua barangan ini dipercayai akan dihantar ke sebuah nurseri di Perak.
"Kesemua kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5.
"Kedua-dua suspek serta barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

