Pemandu warga asing lari tinggalkan lori tiada cukai jalan sejak 2016

SHAH ALAM – Tiga lori tipper yang beroperasi tanpa cukai jalan sah sejak 2016 dan 2018 dikesan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan BRP 7 Legong Kuang-Rawang dan Cyberjaya, Selasa lalu.
Salah sebuah lori itu ditinggalkan di tengah jalan oleh pemandunya yang dipercayai warga asing sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa JPJ.
Lebih mengejutkan, seorang lagi pemandu di Cyberjaya bertindak mematahkan aci pemacu (drive shaft) lori dipandunya bagi menyukarkan tindakan sitaan.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kesemua lori terbabit dikesan ketika anggota JPJ menjalankan rondaan di dua lokasi berkenaan.

"Kesemua kenderaan dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum diperiksa. Salah sebuah lori ditinggalkan di tengah jalan oleh pemandu dipercayai warga asing berdasarkan siasatan awal.
"Seorang lagi pemandu cuba menghalang tindakan rampasan dengan merosakkan komponen kenderaan, namun anggota berjaya membawa lori berkenaan ke stesen JPJ untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguat Kuasa JPJ Elmina, di sini pada Khamis.
Menurutnya, siasatan mendapati sebuah lori beroperasi tanpa cukai jalan dan insurans sah sejak 20 Oktober 2016, manakala dua lagi masing-masing sejak 20 Ogos 2018 dan 4 Julai 2018.
"Pemeriksaan lanjut mendapati enjin salah sebuah lori telah ditukar tanpa kelulusan, manakala nombor casis sebuah lagi telah diubah suai.
"Ketiga-tiga lori itu telah dirampas dan akan dihantar untuk pemeriksaan lanjut. Kesemua kenderaan berkemungkinan dilucut hak milik," katanya.
Jelas beliau, operasi berkenaan membuktikan wujudnya sikap tidak bertanggungjawab dalam kalangan pemilik syarikat yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira keselamatan orang awam.
"JPJ tidak akan berkompromi. Tindakan tegas termasuk pelucuthakan hak milik akan diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya," ujarnya.
Dalam masa sama, JPJ turut memberi amaran bahawa tindakan menghalang tugas anggota penguat kuasa boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 234 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pemilik syarikat pengendali lori diingatkan supaya memastikan semua kenderaan mereka mematuhi keperluan teknikal dan perundangan sebelum digunakan di atas jalan raya.
"Kepada syarikat yang patuh undang-undang, teruskan komitmen anda. Kepada yang masih ingkar, tindakan tegas menanti," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

