513 syarikat pengendali kenderaan berat bakal digantung lesen

Muhammad Kifli
Muhammad Kifli
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 513 syarikat pengendali kenderaan berat telah dicadangkan untuk digantung lesen operasi atas pelbagai kesalahan melanggar peraturan jalan raya sejak 2019 hingga April lalu.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, antara kesalahan dikenal pasti melibatkan pengendalian kenderaan tanpa cukai jalan, insurans dan pemeriksaan sah.

Beliau berkata, sejak 2019 hingga April lalu, sebanyak 513 syarikat telah dicadangkan untuk digantung lesen operasi atau permit kenderaan mereka.

"Sebanyak 28 amaran turut dikeluarkan kepada syarikat-syarikat terbabit dalam tempoh tersebut.

"JPJ juga akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 234 akta sama terhadap mana-mana pemandu atau syarikat yang menghalang tugas anggota JPJ ketika pemeriksaan dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa JPJ Elmina di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Kifli berkata, JPJ turut membuka 17 kertas siasatan melibatkan kenderaan perdagangan seperti lori yang terlibat dalam kemalangan akibat kecuaian atau masalah teknikal.

"Daripada jumlah itu, 11 kes masih dalam siasatan, tiga kes sedang didakwa dan satu telah disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Manakala satu lagi dalam semakan Timbalan Pendakwa Raya dan satu kes membabitkan kemalangan melibatkan lori di Rompin masih menunggu laporan kimia kerana pemandunya disyaki berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian," katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas itu diambil mengikut peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Setakat ini, sebanyak 135 kenderaan telah disita di bawah Seksyen 80 akta tersebut melibatkan negeri Selangor dan Pahang, dengan tujuh daripadanya telah dilucut hak pemilikan.

"Kebanyakan kes membabitkan lori yang membawa muatan berlebihan," katanya.

Jelasnya, tindakan tegas ini diambil susulan siri kemalangan melibatkan kenderaan berat termasuk kejadian di Teluk Intan yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) baru-baru ini.

"JPJ sama sekali tidak berkompromi terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

"Mana-mana pihak sengaja melanggar undang-undang jalan raya yang ditetapkan akan dikenakan tindakan tegas," katanya.


Lori tipper paling banyak disita – JPJ

SHAH ALAM – Lori tipper atau pengangkut mencatatkan jumlah sita tertinggi melibatkan kenderaan barangan menerusi operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2022. Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 602 lori tipper disita daripada keseluruhan 3,061 lori dikenakan tindakan sehingga April tahun ini.

"Pada 2022, sebanyak 102 lori tipper disita, meningkat kepada 252 pada tahun berikutnya dan menurun kepada 189 tahun lalu.

"Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sahaja, sebanyak 365 lori disita dengan 59 daripadanya adalah lori tipper,” katanya ketika sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa JPJ Elmina di sini pada Khamis.

Beliau berkata, semakan mendapati, lori tipper antara kenderaan paling banyak melakukan kesalahan jalan raya.

"Antara kesalahan dikesan termasuk membawa muatan berlebihan, cukai jalan tamat tempoh dan gagal menjalani pemeriksaan berkala seperti diwajibkan.

"Kita tidak mahu kesalahan ini membahayakan pengguna lain. Jika cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans, ia menyukarkan urusan jika berlaku kemalangan," katanya.

Katanya, JPJ memandang serius isu berkenaan dan mengarahkan penguat kuasa di setiap negeri melipatgandakan penguatkuasaan terhadap lori.

"Selepas ini, kita akan beri tumpuan khusus kepada lori tanpa cukai jalan, tiada insurans dan memiliki kesalahan teknikal.

"Susulan itu, penguatkuasaan akan dilipat gandakan bagi memastikan operasi dijalankan secara berterusan,” katanya.

Muhammad Kifli menegaskan, tindakan tegas diambil kerana keselamatan pengguna jalan raya menjadi keutamaan susulan beberapa kemalangan berpunca akibat kecuaian atau kegagalan pemandu lori.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!