Jeffrey 'anytime' debat dengan Bung Moktar

KOTA KINABALU – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, menyatakan kesediaannya menyahut cabaran debat yang dikemukakan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri itu berpandangan tiada keperluan untuk beliau berdebat dengan Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah jika ia tidak membawa faedah kepada rakyat.
"Saya bila-bila masa pun boleh, tapi apa faedahnya? Kalau ada kebaikan, baguslah. Jadi, kita tunggu saja. Tapi saya rasa tak perlu (berdebat), sebab saya punya orang sudah ada (mewakili debat)," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar sempena Pesta Kaamatan, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bung Moktar yang menyatakan kesediaan untuk berdebat secara terbuka dengannya berhubung pelbagai isu, termasuk slogan ‘Sabah untuk rakyat Sabah’.
Sebelum ini, Jeffrey merupakan antara pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang lantang mempertahankan slogan tersebut, susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berpandangan slogan itu tidak wajar diketengahkan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan BN, beliau yang juga Naib Pengerusi GRS menegaskan bahawa gabungan itu perlu menyelesaikan isu dalaman terlebih dahulu sebelum menumpukan kepada kerjasama dengan pihak lain.
"Kami akan ke arah itu, tetapi buat masa ini penting untuk kami mencapai kesatuan dalam gabungan agar dapat bergerak ke depan.
"Kami bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi perpaduan politik, tetapi kita perlu dengar suara rakyat. Kalau majoriti rakyat kata A, kita kena respons dengan A," katanya.
Mengulas lanjut mengenai senario politik semasa, termasuk berkaitan gabungan antara parti tempatan dan nasional, Jeffrey berkata ia masih terlalu awal untuk dibuat sebarang kesimpulan.
"Itulah yang saya dengar juga. Tetapi masih terlalu awal untuk buat sebarang kesimpulan... kerana kita masih tunggu, lama lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
