Kes video ADUN Sabah: SPRM panggil semula individu terlibat

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula semua individu terlibat dalam klip video yang didakwa skandal rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berhubung isu pelesenan lombong mineral.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, laporan forensik telah pun siap dan diserahkan kepada pegawai penyiasat pada minggu lalu.
"Arahan saya ialah pegawai penyiasat perlu memanggil semua mereka yang dikatakan terlibat baik di dalam video, memegang video dan sebagainya untuk dirakam percakapan bagi mengesahkan tentang isu atau kandungan dalam video berkenaan.
"Apa yang pentingnya kita memanggil mereka untuk memberi keterangan apa yang ada dalam video itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pihak timbalan pendakwa raya (TPR) akan melihat hasil forensik berkenaan untuk mengesahkan ia adalah asli atau tidak sebelum dibuat keputusan.
Tambah Azam, dalam kes ini beliau memberi arahan bahawa dalam satu bulan setengah dari sekarang untuk disiapkan segera.
"Laporan forensik mesti memanggil semua mereka yang terlibat dalam video untuk diambil keterangan semula.
"Bila siap kertas siasatan maka TPR akan lihat semua sudut termasuk hasil forensik terbabit," ujarnya.
April lalu, Azam memaklumkan laporan forensik terhadap 10 rakaman video yang tular sebelum ini telah diperoleh namun agensi itu masih memerlukan masa bagi meneliti kesemua bahan bukti dengan teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
Sebelum ini tular beberapa rakaman video yang didakwa menunjukkan perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu pelesenan mineral di negeri itu.
Video berkenaan didakwa memaparkan perbincangan mengenai skandal rasuah berkaitan projek cari gali mineral di Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
