Kes Ismail Sabri: SPRM akan rekod keterangan Jovian

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merakam keterangan Datuk Jovian Mandagie berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Jovian merupakan saksi yang dinamakan oleh Ismail Sabri ketika direkod keterangan sebelum ini untuk mengesahkan aset yang diisytiharkan kepada pihaknya.
Menurutnya, SPRM akan pergi berjumpa dengan bekas menantu Ismail Sabri itu yang kini berada dan menetap di Indonesia.
"Kita akan pergi berjumpa dengannya di sana (Indonesia), dijangka pergi dalam seminggu dua ini dan saya telah maklumkan kepada pasukan siasatan untuk segerakannya.
"Ini kerana ada harta yang disebutkan oleh beliau (Ismail Sabri) dan perlu pengesahan Jovian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Khamis.
Azam berkata, Ismail Sabri telah hadir membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lepas mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 dan sehingga kini seramai 57 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, SPRM masih dalam proses menganalisis semua aset terbabit kerana sumber pendapatan Ismail Sabri terlalu banyak di mana bekas pemimpin nombor satu negara itu telah berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk swasta selain memiliki beberapa syarikat ketika bukan anggota pentadbiran.
"Jadi ini menjadi pertimbangan kami ketika menjalankan siasatan.
"Untuk melihat sama ada beliau (Ismail Sabri) dipanggil semua bergantung kepada analisis kami, namun mungkin tidak dipanggil lagi," ujarnya.
Kata Azam, berdasarkan laporan yang diterima kes dijangka akan selesai pada akhir Jun.
"Kemudian kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan. Pegawai penyiasat juga akan tumpu segala keterangan dan sekiranya ada elemen cukup untuk tuduh, kita cadangkan untuk tuduh kepada beliau (Ismail Sabri)," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Bera itu disiasat antara lain membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
