Rumah bergoncang, 39 penghuni cemas

Keadaan tanah yang berlaku mendapan di Jalan Keramat Kiri 15, Datuk Keramat ketika tinjauan hari ini.
-fotoBERNAMA
Keadaan tanah yang berlaku mendapan di Jalan Keramat Kiri 15, Datuk Keramat ketika tinjauan hari ini. -fotoBERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 39 penghuni rumah di Jalan Kiri 15, Kampung Datuk Keramat, di sini berdepan detik cemas apabila kediaman mereka bergoncang dan retak akibat mendapan tanah.

Kejadian mendapan berkenaan dipercayai berlaku akibat projek membina rumah pam bagi menaik taraf sistem perparitan di kawasan itu.

Kediaman tiga tingkat yang mempunyai 32 pintu itu dihuni 39 orang.

Pemilik kediaman itu, Hasnah Yusop, 59, berkata, sebelum ini kediamannya mengalami keretakan serta bergoncang sejak seminggu lepas akibat kerja-kerja pembaikan yang dilakukan namun bangunan itu mula condong serta senget sejak dua hari lepas.

"Oleh sebab itu, kami diarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam untuk keluar dari rumah kerana dipercayai tidak selamat untuk diduduki," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Aktiviti Kemasyarakatan Masjid Al-Akram di sini hari ini.

Hasnah antara 21 penghuni yang kini ditempatkan sementara di dewan itu manakala selebihnya membuat keputusan untuk menetap di rumah saudara masing-masing.

Tegasnya, kejadian seumpama ini merupakan pertama kali berlaku sejak suaminya membina bangunan itu pada tahun 1995.

"Sebelum ini, semuanya baik. Tiada apa-apa yang berlaku. Retakan ini terjadi sejak seminggu lalu melibatkan 10 pintu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seorang daripada penyewa di bangunan tersebut, Zailenah Imbi, 51, berkata, sejak projek membina rumah pam itu dijalankan, rumahnya sering bergoyang dan bergegar dari pagi sehingga petang hingga menimbulkan keadaan yang tidak selesa.

Dalam pada itu, seorang lagi penghuni yang juga Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Zon Datuk Keramat, Zainuri Ahmad berkata, rumahnya turut terkesan akibat daripada projek yang bermula sejak perayaan Tahun Baru Cina itu.

No Image Caption

"Tanah di hadapan rumah saya ini berlaku mendapan sejak beberapa hari lepas dan ia lebih ketara sejak semalam," katanya.

Katanya, sebagai wakil penduduk, beliau telah membuat laporan kepada DBKL berhubung isu terbabit untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, di lokasi yang sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, projek membina rumah pam bernilai RM1.4 juta itu bertujuan untuk mengatasi masalah banjir kilat di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, pihaknya mendapati semasa projek itu dijalankan, bangunan itu tidak mempunyai kelulusan pelan, Development Order (DO) dan Sijil Layak Menduduki (CF) menyebabkan keselamatan penghuninya tidak terjamin.

“Walaupun rumah itu tiada CF, tapi kami tetap bantu sedaya upaya bekerjasama dengan semua pihak, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk sediakan makan minum kepada penghuni terjejas di pusat penempatan sementara.

"Kami meminta tuan tanah supaya segera menghantar dokumen berkaitan untuk mendapatkan CF bagi keselamatan penghuni," katanya.

Tegasnya, projek itu dijangka akan siap dalam masa dua hingga empat minggu dan sepanjang tempoh itu, penghuni terjejas akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara. - Bernama