Bekas tokoh korporat terkaya di Indonesia ditahan kes rasuah

JAKARTA – Tokoh korporat yang pernah tersenarai antara kelompok 50 individu terkaya di Indonesia, Iwan Setiawan Lukminto, ditahan pihak Jabatan Peguam Negara Indonesia berhubung siasatan kes rasuah berkaitan pemberian pinjaman bank kepada syarikat tekstil, PT Sri Rejeki Isman Tbk (Sritex).
Penahanan bekas Pengarah Urusan Sritex itu disahkan Timbalan Peguam Negara Bahagian Jenayah Khas (Jampidsus), Febrie Adriansyah, menerusi kenyataan ringkas pada Rabu.
“Betul,” katanya ketika dihubungi media, namun enggan mengulas lanjut mengenai status terkini penahanan tersebut.
Febrie memaklumkan Iwan ditahan di Solo, Jawa Tengah.
Iwan merupakan anak sulung kepada mendiang H.M. Lukminto, pengasas Sritex Group yang diasaskan pada tahun 1966. Keluarga Lukminto pernah dianggap sebagai antara nama besar dalam industri tekstil Indonesia, khususnya ketika era kegemilangan syarikat tersebut sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Pada tahun 2020, Iwan pernah menduduki tempat ke-49 dalam senarai individu terkaya di Indonesia oleh Majalah Forbes, dengan anggaran kekayaan mencecah AS$515 juta (RM8.41 bilion).
Beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan Sritex dari 2014 hingga 2023, selepas menyertai pengurusan syarikat sejak tahun 1997.
Selain industri tekstil, Sritex Group turut melebarkan pengaruh ke sektor perhotelan dengan memiliki kira-kira 10 buah hotel di Solo, Yogyakarta dan Bali, termasuk Holiday Inn Express di Bali.
Namun, pandemik yang melanda dunia pada 2020 memberi tamparan hebat kepada operasi syarikat itu, menyebabkan aliran tunai terjejas teruk dan akhirnya Sritex diisytiharkan muflis serta menamatkan operasinya.
Sejak itu, nama Iwan terkeluar daripada senarai elit usahawan terkaya di negara tersebut, dan maklumat mengenai jumlah kekayaan terkini beliau tidak lagi didedahkan kepada umum.
Pihak berkuasa ketika ini masih menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan salah guna kuasa berkaitan pinjaman bank yang diperoleh syarikat itu sewaktu berada di bawah kepimpinannya. - CNN Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

