Umur bersara wajib 65 tahun, wajar atau tidak?

MUKADDIMAH
Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan untuk mengkaji semula had umur persaraan wajib yang ditetapkan pada usia 60 kepada 65 tahun kerana ramai individu pada usia itu masih sihat dan berpengalaman.
Menurutnya, langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan usia 60 tahun kini dianggap masih muda oleh kebanyakan negara.
Bagaimanapun isu ini mengundang pelbagai reaksi. Ada pihak menyatakan perkara itu perlu memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat.
Apatah lagi ia juga membolehkan individu yang masih sihat dan produktif untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Namun bagi sesetengah pihak, mereka berpandangan, usia 60 tahun sudah memadai untuk seseorang bersara selain memberi laluan kepada generasi muda untuk membina kerjaya baharu.
.................................
SOKONG
Tampung keperluan terhadap tenaga pakar
Pada pendapat saya, dalam era kemajuan pesat dan cabaran tenaga kerja masa kini menyebabkan keperluan terhadap tenaga pakar yang berpengalaman menjadi semakin penting.
Dalam bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, pendidikan tinggi dan perundangan, terdapat kekurangan tenaga mahir yang sukar diganti dalam tempoh singkat.
Oleh itu, membenarkan pakar-pakar lama yang masih sihat dan berkemampuan untuk terus berkhidmat sehingga usia 65 tahun adalah wajar dipertimbangkan.
Pengalaman luas dan kepakaran mendalam yang dimiliki golongan ini mampu menjadi aset penting dalam memastikan kelangsungan mutu perkhidmatan serta membantu melatih generasi baharu.
Selain mengisi kekosongan, kehadiran mereka juga berperanan sebagai mentor yang boleh memindahkan ilmu dan kemahiran secara langsung kepada pekerja muda.
Ini secara tidak langsung membantu mengekalkan tahap profesionalisme dan standard tinggi dalam bidang masing-masing.
Namun, pelaksanaan dasar ini perlu bersifat fleksibel dan berdasarkan keperluan sebenar serta tahap kesihatan individu.
- Penjawat awam, Nor Hidayah Zakaria, 41
Jaminan kewangan lebih kukuh
Melihat kos sara hidup, isu kewangan selepas persaraan 60 tahun menjadi kebimbangan utama bagi ramai pekerja.
Bersara pada usia yang lebih lewat seperti 65 tahun boleh menjadi strategi bijak dalam merancang kestabilan kewangan untuk jangka panjang.
Pekerja itu sendiri mempunyai lebih banyak masa untuk menyimpan dan menambah tabungan dalam simpanan persaraan seperti KWSP atau skim pencen.
Pendapatan tetap yang diterima dalam tahun tambahan ini bukan sahaja meningkatkan jumlah simpanan, malah memberi peluang untuk melunaskan komitmen kewangan yang masih ada sebelum bersara.
Lebih penting, persaraan yang dirancang dengan sumber kewangan mencukupi membolehkan seseorang menikmati kehidupan yang lebih tenang dan berkualiti.
Ia juga membantu mengurangkan kebergantungan kepada anak-anak atau bantuan kerajaan, selain memberi kebebasan untuk menumpukan masa kepada aktiviti yang digemari seperti beribadah, melancong atau menyumbang secara sukarela kepada masyarakat.
Bagaimanapun, pelanjutan umur persaraan harus diiringi dengan penilaian kesihatan dan keupayaan individu.
- Penulis, Danial Shankar, 22
.................................
BANGKANG
Tidak selari keperluan semasa negara
Saya membantah cadangan menaikkan umur persaraan ini kerana tidak selari dengan keperluan semasa negara yang sedang berusaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda.
Walaupun kadar pengangguran belia menunjukkan sedikit penurunan, jumlah mutlak penganggur kekal tinggi dan membimbangkan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Mac 2025, 298,900 belia berumur 15 hingga 24 tahun masih menganggur dan 401,600 belia berumur 15 hingga 30 tahun berkeadaan sama.
Angka ini mencerminkan hakikat bahawa ratusan ribu anak muda masih menanti peluang pekerjaan yang sesuai.
Cadangan menaikkan had umur persaraan akan hanya melanjutkan dominasi generasi terdahulu dalam pasaran kerja dan menangguhkan peluang generasi pelapis untuk tampil ke hadapan.
Selain itu, langkah menaikkan umur persaraan wajib akan menyebabkan proses peremajaan tenaga kerja menjadi perlahan. Generasi muda yang berpotensi untuk memimpin, memperbaharui organisasi dan menyumbang inovasi tidak diberi ruang sewajarnya jika jawatan-jawatan utama terus disandang dalam tempoh terlalu panjang.
Kerajaan sepatutnya menumpukan perhatian kepada dasar-dasar pembangunan belia seperti penyediaan latihan dan peluang pekerjaan.
- Pengerusi Gerakan Belia, Mohamad Nazri Bin Abdul Latiff, 32
Masa untuk diri dan keluarga pula
Setelah lebih 30 tahun seseorang mencurahkan bakti dan tenaga, usia 60 tahun sudah memadai untuk mereka menamatkan perkhidmatan.
Inilah masanya mereka diberi ruang untuk menabur bakti kepada keluarga dan diri sendiri.
Dengan kesihatan masih baik dan pengalaman yang luas, mereka mampu menikmati kehidupan seimbang serta bermakna selepas bersara.
Usia 60 ke atas sepatutnya digunakan untuk berehat, beribadah dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Bersara lewat boleh menjejaskan keseimbangan hidup dan memberi kesan kepada kebahagiaan peribadi.
Jika masih diperlukan khidmat mereka, cukup sekadar melalui lantikan kontrak, tidak perlu dilanjutkan usia wajib bersara sehingga 65 tahun.
Tambahan pula, semakin meningkat usia, keupayaan fizikal dan mental seseorang akan mula menurun secara semula jadi.
Tubuh juga menjadi lebih mudah letih dan memerlukan masa rehat mencukupi bagi mengekalkan kesihatan.
Jika kita memaksa individu untuk terus bekerja sehingga usia 65 tahun, ia boleh membawa kesan negatif terhadap kesihatan mereka.
Antara risiko yang mungkin timbul termasuk tekanan darah tinggi, masalah jantung serta gangguan kesihatan mental seperti stres dan keletihan melampau.
- Kakitangan awam, Mohamad Jalil Mohamad Yunus, 45
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

