Undang-undang lapuk perlu disemak - Pakar

Gambar hiasan. Gambar kecil: Nadiah dan Ahmad Shamil
Gambar hiasan. Gambar kecil: Nadiah dan Ahmad Shamil
A
A
A

SHAH ALAM - Undang-undang sedia ada perlu relevan dengan perkembangan semasa khususnya melibatkan jenayah digital.

Pakar kriminologi, Nadiah Syariani Md Shariff berkata, sebahagian besar jenayah konvensional kini berubah menggunakan teknologi internet dan peranti canggih tanpa perlu bersemuka secara fizikal.

“Saya setuju dengan cadangan penambahbaikan mengikut kesesuaian supaya undang-undang negara meliputi pelbagai perlakuan jenayah untuk tujuan sabitan dan pengadilan.

“Contohnya jenayah perjudian dan pelacuran dalam talian dan mata wang kripto,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengenai keperluan untuk meneliti semula undang-undang pencegahan jenayah yang sudah lapuk untuk disesuaikan dengan situasi semasa.

Antara undang-undang akan dicadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri ialah berkaitan hukuman terhadap pesalah perjudian, pelacuran dan curi kenderaan yang didapati tidak relevan atau terlalu ringan selain modus operandinya telah berubah.

Dalam pada itu, Nadiah yang juga bertugas sebagai pensyarah di Management & Science University berkata, antara cabaran terbesar pihak berkuasa ialah mencari bukti jenayah digital yang semakin canggih dan sentiasa berubah.

“Oleh itu, undang-undang perlu bersifat menyeluruh dan merangkumi segala aspek perlakuan jenayah dan niat untuk tujuan sabitan dan hukuman jenayah.

“Antara aspek perlu diambil kira dalam penggubalan antaranya teknik perlakuan jenayah terkini melibatkan interaksi dalam talian, kerjasama bersama agensi berkaitan untuk mengesan serta mengenal pasti salah laku untuk pengumpulan bukti dan sabitan,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penambahbaikan perlu dilakukan agar undang-undang berkesan dalam mencegah jenayah secara proaktif dan reaktif.

“Jika hukuman terlalu ringan atau tidak setimpal, undang-undang itu tidak berkesan atau tidak mampu meninggalkan pengajaran atau impak positif pada pelaku mahupun masyarakat,” katanya.

Sementara, peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid berkata, terdapat jurang dalam undang-undang kerana kebanyakannya digubal pada era 60-an atau sebelum merdeka.

“Sebahagian digubal berdasarkan undang-undang negara lain seperti India. Dari segi hukumannya pula tidak mengambil kira faktor terkini seperti tahap ekonomi dan kekerapan jenayah,” kata beliau.

Menurutnya, beberapa undang-undang yang agak lapuk seperti Akta Perjudian dan Akta Rumah Judi Terbuka.

“Contohnya, kesalahan judi sabung ayam dan main daun terup berbanding jenayah judi dalam bentuk digital.

“Jadi perlu ada peruntukan khas tangani jenayah baharu yang melibatkan pembuktian atas kesalahan digital kerana kesalahan itu jauh berbeza dengan jenayah fizikal.

“Contoh lain seperti Seksyen 12 Akta Kesalahan Kecil, kes 2012 melibatkan penari tiang dikenakan hukuman RM25 yang mana nilainya terlalu rendah berbanding ekonomi masa kini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!