Indonesia gempar kemunculan grup 'Fantasi Sedarah'

JAKARTA – Polis Republik Indonesia (Polri) berjaya membongkar kegiatan tidak bermoral membabitkan dua kumpulan Facebook bernama ‘Fantasi Sedarah’ dan ‘Suka Duka’ yang menyebarkan kandungan berkaitan sumbang mahram secara terang-terangan.
Kumpulan Facebook ‘Fantasi Sedarah’ menjadi tular di media sosial apabila beberapa tangkap layar perbualan dalam kumpulan itu tersebar di platform X dan Instagram, menunjukkan wacana terbuka berkaitan hubungan seksual sesama ahli keluarga.
Netizen melahirkan rasa jijik terhadap kandungan kumpulan tersebut yang didakwa mengandungi cerita-cerita lucah dan tidak bermoral, disertai ribuan ahli yang aktif berkongsi bahan terlarang.
Bertindak atas aduan awam dan penularan kandungan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Siber (Dittipidsiber) Bareskrim Polri dengan kerjasama Unit Siber Polda Metro Jaya telah memulakan siasatan rapi.
Hasilnya, satu lagi kumpulan bernama ‘Suka Duka’ turut dikenal pasti mempunyai kandungan seumpama.
Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo turut memberi arahan langsung supaya siasatan dipergiat dan tindakan tegas diambil terhadap semua yang terlibat.
“Polri akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Bahagian Penerangan Awam (Karo Penmas), Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko, enam individu telah diberkas dalam operasi serentak di Pulau Jawa dan Sumatera.
“Kami telah berjaya menangkap enam orang suspek yang terdiri daripada pentadbir (admin) dan ahli aktif kumpulan Facebook ‘Fantasi Sedarah’ dan ‘Suka Duka’,” jelas beliau.
Suspek didakwa memuat naik gambar dan video lucah yang melibatkan wanita serta kanak-kanak bawah umur, termasuk kandungan yang mengangkat tema sumbang mahram secara terbuka.
“Kesemua mereka memainkan peranan sama ada sebagai pentadbir kumpulan atau ahli aktif yang menyebarkan bahan lucah membabitkan perempuan dan kanak-kanak bawah umur,” katanya lagi.
Pihak polis turut merampas pelbagai barangan bukti semasa tangkapan dilakukan, termasuk komputer riba, telefon bimbit, kad SIM, gambar, video dan dokumen digital yang berkaitan dengan kes.
Kesemua suspek kini ditahan reman di Bareskrim Polri dan Polda Metro Jaya untuk siasatan lanjut.
Polis sedang mendalami motif pembentukan kumpulan tersebut, selain menyiasat kemungkinan kewujudan elemen jenayah lain seperti eksploitasi seksual, pemerdagangan orang dan penyebaran pornografi kanak-kanak.
“Kami masih menyiasat secara terperinci motif sebenar serta kemungkinan wujud pelaku lain yang terlibat dalam kegiatan ini,” ujar Trunoyudo.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan ditahan selepas proses soal siasat dan analisis forensik digital dijalankan terhadap peralatan yang dirampas.
Siasatan awal mendapati terdapat ribuan ahli yang menyertai kumpulan Facebook berkenaan. Polis kini sedang mengenal pasti identiti dan lokasi mereka bagi tindakan lanjut.
“Kumpulan ini melibatkan jaringan yang luas, dan siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti semua yang terbabit dalam kegiatan terkutuk ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

