Pemandu pitam, lori balak terbabas rempuh kereta, pagar sekolah

Keadaan di lokasi kejadian yang mengakibatkan kerosakan dua buah kereta dan pagar sekolah akibat dirempuh lori tersebut.
Keadaan di lokasi kejadian yang mengakibatkan kerosakan dua buah kereta dan pagar sekolah akibat dirempuh lori tersebut.
A
A
A

BESUT – Sebuah lori membawa muatan kayu balak terbabas sebelum merempuh dua buah kenderaan dan pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Akar dalam kejadian di Jalan Pasir Akar–Kampung Oh, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, insiden kira-kira jam 2 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori jenis Volvo berkenaan dalam perjalanan dari Keruak, Pasir Akar menuju ke Kuala Terengganu sebelum pemandunya dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh.

Keadaan lori muatan balak yang mengalami kerosakan selepas terbabas dipercayai berpunca daripada pemandunya pitam diserang darah tinggi.
Keadaan lori muatan balak yang mengalami kerosakan selepas terbabas dipercayai berpunca daripada pemandunya pitam diserang darah tinggi.

"Lori terbabit terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar sebuah Proton Waja dan Perodua Alza yang diletakkan di tepi jalan.

"Ia kemudian merempuh sebuah gerai makan serta pagar sekolah berhampiran, menyebabkan ia mengalami kerosakan," katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit, Mohd Zubaidi Abd Rahman, 48, dipercayai pitam ketika memandu akibat tekanan darah tinggi dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Besut.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Artikel Berkaitan:

Keadaan sebuah gerai makan yang dirempuh sebuah lori muatan kayu balak dalam kejadian di Jalan Pasir Akar – Kampung Oh, di Besut, pada Rabu.
Keadaan sebuah gerai makan yang dirempuh sebuah lori muatan kayu balak dalam kejadian di Jalan Pasir Akar – Kampung Oh, di Besut, pada Rabu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung terus dengan Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Jalani Mokhtar di talian 019-989 9469.

"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dan berhati-hati semasa memandu serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak kejadian tidak diingini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!