Wanita patah kaki, kereta terjunam dalam longkang

SEREMBAN - Seorang wanita berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan sebelum terbabas dan menjunam ke dalam longkang besar yang dianggarkan sedalam tiga meter.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Nazar Abdul Rahman, berkata laporan berhubung kejadian diterima pada jam 1.33 petang di Jalan Templer, berhampiran sebuah stesen minyak, di sini.
Menurutnya, kenderaan Perodua Axia yang dipandu wanita berusia 24 tahun itu terbabit kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi sebelum terbabas dan jatuh ke dalam longkang berkenaan.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar terdapat kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia yang terjatuh ke dalam longkang.
"Mangsa yang mengalami patah kaki kanan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi," katanya menerusi kenyataan.
Katanya, mangsa kemudian dibawa naik ke atas menggunakan tangga dan stretcher sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya.

Ujar beliau, seramai lapan anggota terlibat dalam operasi itu yang ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.24 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, ketika dihubungi memaklumkan bahawa laporan polis masih belum dibuat oleh mangsa setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

