Nahas FRU: Perak pertimbang bantuan tambahan kepada waris - Exco

GOPENG – Kerajaan Perak sedang meneliti bentuk bantuan tambahan yang bersesuaian kepada waris serta anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas tragis di Teluk Intan minggu lalu.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Salbiah Mohamed berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam masa terdekat.
Bagaimanapun katanya, bantuan awal telah pun diberikan oleh kerajaan negeri bagi meringankan beban waris dan mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.
"Kita akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan bantuan-bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan negeri di bawah portfolio saya.
"Kita akan tunggu Menteri Besar untuk mengumumkan bantuan-bantuan daripada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Consumer Fair & Trade Expo 2025 di Brunei Darussalam yang berlangsung di pekarangan parkir Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Gopeng pada Rabu.
Hadir menyempurnakan pelepasan berkenaan, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Sementara itu, Salbiah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah digerakkan bagi memberikan bantuan awal termasuk sokongan kaunseling kepada ahli keluarga mangsa.
“JKM melalui unit psikologi telah turun padang memberi nasihat dan sokongan emosi kepada keluarga supaya mereka dapat menghadapi situasi sukar ini dengan lebih tenang.
“Kita tahu bukan mudah kehilangan orang tersayang secara tiba-tiba, sebab itu kita sentiasa beri perhatian kepada aspek kestabilan emosi waris,” ujarnya.
Tambah beliau, selain bantuan kecemasan yang telah disalurkan menerusi JKM, sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Negara juga telah diberikan seperti diumumkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Dalam kejadian pada 13 Mei lalu kira-kira jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTI.
Lapan lagi anggota mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

