Bas terbakar: UTM lakukan siasatan dalaman kenal pasti punca

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden kebakaran bas di kampus berkenaan pada Rabu.
UTM dalam satu kenyataan mengesahkan, insiden sekitar jam 10 pagi itu didapati berlaku di kawasan perhentian bas Jalan Lingkaran Ilmu, di hadapan Blok P19a, Fakulti Kejuruteraan Elektrik.
"Tidak ada sebarang kecederaan atau kemalangan melibatkan pelajar mahupun staf universiti dilaporkan dalam kejadian kebakaran bas ini.
"Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang dihubungi telah tiba dengan pantas sejurus menerima panggilan kecemasan kebakaran tersebut dan telah berjaya mengawal serta memadamkan kebakaran dengan segera," menurutnya.

UTM turut menegaskan, pihaknya memberikan perhatian serius terutamanya melibatkan aspek keselamatan dalam kampus.
Difahamkan, pihak universiti juga sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Universiti akan meneliti langkah-langkah pencegahan dan penambahbaikan bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang.
"Kami juga memberikan jaminan bahawa pemantauan rapi akan terus dilakukan dan maklumat lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
