Kabinet Perikatan Nasional dijangka umum Selasa: Zuraida

Zuraida - Foto Bernama
Zuraida - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kabinet Perikatan Nasional (PN) dijangka diumum pada Selasa ini, menurut Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida turut menzahirkan harapan agar 30 peratus barisan Kabinet yang dipilih Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terdiri daripada wanita agar dasar yang bakal digubal adalah mesra wanita.

"Ketika ini ada sembilan sahaja ahli Parlimen wanita dalam Perikatan Nasional. Jadi mungkin tidak mudah untuk capai 30 peratus (kuota).

"Ia memerlukan seorang wanita untuk memahami apa itu keperluan wanita. Namun, kuota 30 peratus (dalam Kabinet) itu boleh dicapai melalui lantikan seperti senator dan sebagainya," katanya kepada Bernama selepas sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2020 anjuran Go Red For Women Yayasan Jantung Malaysia (YJM) di sini hari ini.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa Ahli Parlimen wanita di negara ini layak untuk berdiri seiring dalam barisan Kabinet baharu.

Dalam pada itu Zuraida yang merupakan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kerajaan perlu turut memberi tumpuan kepada kebajikan warga tua wanita seperti membuat dasar khusus untuk golongan tersebut.

"Saya mahu lihat Malaysia bangunkan perkampungan warga emas supaya mereka menjalani hidup masa tua yang lebih berkualiti.

"Mereka dapat berinteraksi dengan selesa dan jalankan aktiviti bersama. Sebagai contoh dasar dari segi perumahan, dari segi infrastrukturnya mestilah berbeza (yang memudahkan mereka)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir di majlis itu ialah Pengarah Go Red For Women YJM, Ainon Kuntom, Bendahari Kehormat YJM, Datuk Dr Aljafri Abdul Majid dan Pengarah Perubatan YJM, Datin Dr Liew Yin Mei. - Bernama