Koleksi Nota My #QuranTime kini di PBAKL 2025

SHAH ALAM – Lengkap sudah perjalanan tadabbur al-Quran yang dinanti. Dengan terbitnya Nota My #QuranTime Juzuk 30, genaplah keseluruhan koleksi 30 juzuk Nota My #QuranTime, hasil kupasan dan tadabbur al-Quran yang diinspirasikan daripada program My #QuranTime yang bersiaran setiap hari.
Keluaran terbaharu Grup Buku Karangkraf ini menghimpunkan 37 surah dalam Juzuk ke-30 yang memfokuskan kepada pelbagai tema penting dalam kehidupan.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, juzuk yang juga dikenali dengan Juzuk Amma menghimpunkan surah-surah lazim yang menjadi kebiasaan untuk dibaca umat Islam khususnya di rantau Nusantara.
“Bagi setiap surah, ia dilengkapi dengan ringkasan dan huraian ayat. Selain itu, naskhah ini juga mengandungi resolusi dalam setiap ayat tersebut.
“Ia bermaksud sesuatu yang boleh diambil manfaat untuk dijadikan pengajaran kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ujar beliau, dengan terbitnya juzuk ke-30 ini, menandakan bahawa koleksi Nota My #QuranTime telah lengkap sepenuhnya sejak ia mula diterbitkan pada tahun 2020.
Tambahnya lagi, buku Nota My #QuranTime mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan telah berjaya terjual lebih 500,000 naskhah sehingga kini.

Program My #QuranTime, terbitan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, mula bersiaran selama satu jam setiap hari di TV AlHijrah sejak tahun 2020.
Kini memasuki musim kedua, program ini turut disiarkan di TV9, RTM, Astro Oasis serta pelbagai platform media sosial.
Sejak dilancarkan, My #QuranTime telah menarik ratusan ribu penonton daripada pelbagai latar belakang, menjadikannya antara gerakan tadabbur al-Quran paling berpengaruh dan konsisten di Malaysia.
“Dalam buku tersebut, kita menggunakan laras bahasa yang mudah difahami, contoh-contoh yang biasa didengari dan tidak membuat perbandingan yang terlalu rumit.
“Itulah antara sebab mengapa buku ini mendapat sambutan oleh segenap lapisan masyarakat termasuk golongan pelajar, pekerja, suri rumah mahupun pesara,” ujarnya.
Ulas beliau, Nota My #QuranTime Juzuk 30 akan diperkenalkan di PBAKL 2025 yang akan berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun.
Sepanjang tempoh pameran, pengunjung boleh mendapatkan koleksi ini pada harga istimewa.
“Koleksi penuh 30 juzuk bersama enam kotak eksklusif ditawarkan pada harga promosi RM750 (harga asal RM990).
“Kami juga menyediakan pakej lima buah buku berserta kotak khas dengan harga RM135, khas untuk pengunjung PBAKL sahaja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

