Lelaki rosakkan kuil bukan bermotif ekstremisme

Antara peralatan senjata yang dirampas polis susulan penahanan suspek kes pecah kuil di Taman Sri Ampang pada Isnin.
Antara peralatan senjata yang dirampas polis susulan penahanan suspek kes pecah kuil di Taman Sri Ampang pada Isnin.
A
A
A

AMPANG - Tindakan seorang lelaki merosakkan tempat sembahyang rumah ibadat agama Hindu di Taman Sri Ampang, di sini dipercayai akibat pengaruh dadah dan bukan bermotifkan ekstremisme.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki itu telah direman selama empat hari sehingga Jumaat ini.

“Perbuatan suspek tiada kaitan dengan ekstremisme, sebaliknya dia disyaki berada di bawah pengaruh dadah dan mendakwa terdengar bisikan.

“Ujian saringan air kencing mengesahkan suspek positif methamphetamine serta amphetamine,” katanya pada Selasa.

Dalam kejadian pada Isnin, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang merosakkan tempat sembahyang rumah ibadat agama Hindu di Taman Sri Ampang diberkas polis pada jam 8.38 pagi.

Suspek turut mengacukan parang dan mengugut untuk memotong kepala seorang individu yang juga kakitangan kuil berkenaan.

Polis turut merampas sebatang tukul besi, pemotong besi, beg, dua bilah parang, sebilah keris serta sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!