PBT Selangor diarah sita iklan produk vape

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengambil langkah awal dalam usaha mengawal penggunaan rokok elektronik (vape) dengan mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita dan merampas sebarang bentuk iklan produk itu di negeri ini.
Langkah itu diputuskan dalam satu mesyuarat penyelarasan baru-baru ini yang dipengerusikan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin, susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan generasi muda.
Mesyuarat turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsuddin; wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN); wakil PBT serta pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Jamaliah berkata, antara isu yang dibincangkan termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan dan pemantauan, selain penjualan dalam talian yang dilihat sukar dikawal serta mudah diakses oleh remaja.
“Data Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 menunjukkan hampir 14.9 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun di Malaysia adalah pengguna vape. Ini amat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat lanjutan dalam masa terdekat untuk membincangkan pilihan dasar sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) bagi keputusan muktamad.
“Sementara itu, semua PBT diarah mengambil tindakan serta-merta untuk menyita sebarang bentuk iklan berkaitan produk vape sama ada di medium fizikal atau digital,” ujarnya.
Menurutnya, arahan itu selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk merokok elektronik.
“Kerajaan Negeri Selangor komited memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira impak terhadap kesihatan awam serta generasi akan datang.
“Kami juga mengalu-alukan kerjasama ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil dan agensi berkaitan di semua peringkat untuk memastikan tindakan diambil benar-benar berkesan dan mampan,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

