PGA tumpas penyeludupan lebih 300,000 biji kelapa bernilai RM1.3 juta

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan cubaan menyeludup 317,000 biji kelapa yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta selepas menahan lapan treler dalam Op Taring Wawasan Kelantan semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, 13 lelaki berusia antara 19 hingga 70 tahun terdiri daripada pemandu dan kelindan turut ditahan dalam operasi itu.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dilakukan oleh anggota Batalion 7 di tiga lokasi berasingan di Tumpat, bermula jam 3 hingga 8 pagi semalam iaitu di Bunohan, Pasir Pekan dan Chabang Empat.
"Hasil pemeriksaan ke atas treler berkenaan menemukan 317,000 biji kelapa tanpa dokumen pembelian yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan kelapa itu diperoleh dari Batu Pahat, Johor dan dipercayai cuba diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram.
Nik Ros Azhan berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kelapa dan lapan treler dianggarkan bernilai RM8.3 juta.
"Kesemua lelaki yang ditahan dipercayai bertindak sebagai penghantar bekalan ke daerah bersempadan sebelum diseludup ke negara jiran untuk diproses.
"Kes ini disiasat di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (FAMA). Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtek PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!