DBKL kurang tegas, JMB terbeban urus tunggakan

SHAH ALAM - Sikap culas dalam membayar kos penyelenggaraan dan perkhidmatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta Perumahan Awam (PA) berpunca daripada kelemahan serta kurangnya ketegasan dalam tindakan penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) PPR Seri Semarak, Ahmad Faizul Muhamad Hasbi berkata, surat amaran ke arah tindakan tribunal atau mahkamah yang diberikan kepada penduduk tidak mampu mengubah sikap culas mereka dalam membayar yuran penyelenggaraan.
Justeru katanya, Akta Pengurusan Strata 2012 (Akta 757) yang berkaitan dengan pengurusan PPR dan PA perlu diteliti semula, termasuk memberi kuasa lebih luas kepada JMB bagi memastikan isu tunggakan kos penyelenggaraan dapat diatasi.
“Kami baru mengambil alih pengurusan daripada DBKL pada tahun 2023. Pada masa itu, jumlah tunggakan penyelenggaraan yang diserahkan kepada kami sudah mencecah RM1.4 juta. Ia berpunca daripada DBKL yang tidak aktif mengambil tindakan tegas terhadap penyewa yang ingkar.
“Kesannya masih dirasai hingga kini. Apabila JMB mengambil alih, penduduk bersikap sambil lewa dan membuat perbandingan antara pengurusan DBKL yang longgar dan JMB yang lebih tegas. Mereka akan berkata, dahulu semasa di bawah DBKL boleh (tidak bayar), kenapa sekarang tidak boleh?
“Paling menyedihkan, JMB tidak dapat berbuat apa-apa kerana kekangan undang-undang. Surat amaran sudah tidak berkesan, malah memaparkan nama penyewa yang culas juga tidak diendahkan,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Tambah Ahmad Faizul, setakat ini tunggakan yuran penyelenggaraan dengan caj bulanan hanya RM45 telah meningkat kepada RM1.8 juta.
“Tunggakan air (termasuk dalam yuran penyelenggaraan) berjumlah RM1.2 juta, menjadikan jumlah keseluruhan yang perlu dituntut di bawah pentadbiran JMB Seri Semarak mencecah RM3 juta,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Ismail Shaari berkata, kebanyakan pemilik petak memberi alasan tidak mampu membayar kos bulanan meskipun kadar bayaran hanya RM45.
“Alasan yang sering didengar ialah tiada wang dan tidak mampu bayar. Lagipun, ramai yang tidak ambil peduli walaupun mempunyai tunggakan kerana kurangnya penguatkuasaan.
“Sedangkan pembayaran kos penyelenggaraan bulanan amat penting kerana pihak pengurusan hanya bergantung kepada kutipan tersebut untuk memastikan kemudahan awam seperti lif, kebersihan persekitaran dan keselamatan berada dalam keadaan baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

