Empat premis jadi tempat tinggal PATI diserbu

KOTA BHARU - Empat premis yang diserbu dalam Ops Serkap pada Ahad didapati menjadi tempat tinggal 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, kesemua mereka ditahan di premis terbabit di sekitar Pengkalan Chepa dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, antara kawasan yang diserbu ialah Taman Seri, Batu 6 Tok Kaya dan sebuah rumah kongsi di Mukim Pulau Gajah.
"Kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 40 tahun dan siasatan mendapati 14 daripada mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Tiga individu lagi disyaki sebagai ejen ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Beliau memaklumkan bahawa kesemua yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
Mohamed Yusoff turut mengingatkan setiap majikan supaya menggaji warga asing yang mempunyai pas yang sah.
"Orang ramai juga boleh tampil menyalurkan maklumat mengenai PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang," katanya.
Jelas beliau, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara atau bersubahat melindungi PATI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
