Israel akan kuasai seluruh Gaza - Netanyahu

Asap tebal kelihatan dari sempadan selatan Israel ketika serangan terbaharu mengorbankan ratusan penduduk Gaza. - Foto AFP
Asap tebal kelihatan dari sempadan selatan Israel ketika serangan terbaharu mengorbankan ratusan penduduk Gaza. - Foto AFP
A
A
A

GAZA CITY – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa negaranya akan “menguasai seluruh wilayah Gaza” ketika tentera rejim terus melancarkan serangan besar-besaran di wilayah yang dilanda perang itu.

Kenyataan itu dibuat ketika tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan segera kepada penduduk Khan Yunis dan kawasan sekitar bagi menghadapi serangan yang digelar sebagai "belum pernah berlaku sebelum ini".

“Kami akan ambil alih seluruh wilayah Genting Gaza,” kata Netanyahu dalam satu video yang dimuat naik di Telegram.

Pengumuman itu hadir selepas tentera mengumumkan pelancaran operasi darat berskala besar di Gaza, termasuk serangan udara yang menurut penyelamat mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang pada Isnin.

Sebelum ini, Israel menyatakan ofensif besar-besaran itu bertujuan untuk "menakluk Gaza dan mengusir penduduknya".

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pula memberi amaran bahawa dua juta penduduk Gaza kini berdepan kebuluran, walaupun bantuan makanan terkandas di sempadan.

“Dua juta manusia sedang kelaparan, sedangkan bertan-tan bantuan makanan berada hanya beberapa minit dari sempadan,” katanya.

Israel menyekat penuh kemasukan bantuan sejak 2 Mac lalu, dalam usaha mendesak Hamas membuat rundingan. Namun tekanan antarabangsa, termasuk dari sekutu utama Israel, Amerika Syarikat, terus meningkat bagi menghentikan sekatan itu.

Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mempertahankan keputusan membenarkan sedikit bantuan masuk.

Artikel Berkaitan:

“Ini akan membolehkan orang awam makan dan pada masa sama mengekalkan sokongan diplomatik rakan-rakan kami di dunia,"katanya.

Namun Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir menentang kemasukan bantuan, dengan berkata bahawa tebusan mereka tidak menerima bantuan kemanusiaan dari mana-mana pihak.

Tentera Israel pada Isnin memaklumkan mereka telah mengebom 160 sasaran Hamas dalam tempoh 24 jam, termasuk Khan Yunis yang digelar kini sebagai "zon pertempuran berbahaya".

Penduduk tempatan menggambarkan suasana seperti kiamat dengan serangan udara dan tembakan dari pelbagai arah.

“Kami dah tak tahan lagi. Dunia mesti bertindak. Cukuplah!” kata Ayman Badwan dari Deir el-Balah yang kehilangan saudaranya.

Menurut angka rasmi, perang Gaza telah meragut lebih 53,000 nyawa setakat ini, termasuk lebih 3,000 kematian sejak 18 Mac. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!