Tentera Israel diarah sedia laluan keluar penduduk Gaza

Keadaan bangunan di Gaza selepas lebih setahun terlibat dalam peperangan.
Keadaan bangunan di Gaza selepas lebih setahun terlibat dalam peperangan.
A
A
A

JERUSALEM - Menteri Pertahanan Israel telah mengarahkan tenteranya untuk menyediakan laluan air, darat dan udara bagi penduduk Gaza keluar dari Palestin secara sukarela.

Arahan tersebut dikeluarkan selaras dengan cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menguasai kawasan tersebut dengan memindahkan 2.1 juta penduduk Palestin dengan alasan untuk pembangunan semula Gaza.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, rakyat Gaza seharusnya mempunyai kebebasan bergerak dan berhijrah ke mana-mana negara yang bersedia menerima selepas lebih setahun terlibat dalam peperangan.

“Saya telah mengarahkan tentera untuk menyediakan rancangan agar rakyat Palestin di Gaza boleh keluar dari negara itu secara sukarela.

“Mereka boleh pergi ke mana-mana negara yang bersedia menerima mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Pemimpin Palestin dan negara Arab telah menolak rancangan tersebut kerana pemindahan secara paksaan adalah melanggar undang-undang antarabangsa.

Bahkan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah memberi amaran kepentingan mengelakkan sebarang bentuk penghapusan etnik selain menekankan Gaza akan menjadi sebahagian daripada negara Palestin pada masa depan.

Tentera Israel telah melancarkan operasi menghancurkan Hamas sebagai tindak balas kepada serangan rentas sempadan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober 2023.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kementerian Kesihatan dikendalikan Hamas dilaporkan, lebih 47,550 orang terbunuh dan 111,600 cedera di Gaza ketika itu.

Sebilangan besar penduduk Gaza juga telah berpindah beberapa kali dan hampir 70 peratus bangunannya dilaporkan musnah dan rosak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!