Muslihat baharu Israel selepas lancar Operasi Tempur Gideon

EL AVIV – Israel kembali dengan muslihat baharu apabila Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, pada Ahad mengumumkan akan melonggarkan sekatan bagi membolehkan penghantaran bekalan makanan yang terhad ke Genting Gaza.
Pengumuman secara tiba-tiba itu dibuat selepas hampir tiga bulan akses bantuan disekat, sekali gus memburukkan krisis kebuluran dan hanya sehari selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan Operasi Tempur Gideon yang menggempur Gaza melalui jalan darat bagi 'menakluk' enklaf berkenaan.
“Keputusan ini dibuat atas saranan IDF dan merupakan antara keperluan bagi membolehkan kempen ketenteraan diperluaskan. Kami hanya mahu memastikan krisis kelaparan tidak berterusan di Gaza,” menurut kenyataan Pejabat Netanyahu, yang jelas seolah-olah ‘ada udang di sebalik batu’, sedangkan sebelum ini makanan dijadikan senjata perang terhadap penduduk Palestin.
Terdahulu, sumber yang menyertai pusingan baharu rundingan damai di Qatar mengesahkan bahawa proses tersebut tidak mencatat sebarang kemajuan.
Sebelum ini, Tel Aviv dan Hamas gagal mencapai kesepakatan terhadap draf kandungan perjanjian damai yang dikemukakan Israel, kerana ia didakwa tidak menjamin penghujung peperangan secara kekal.
Gelombang serangan ganas yang dilancarkan rejim Zionis sejak minggu lalu menyasarkan lebih 670 lokasi yang dikaitkan dengan Hamas, kononnya untuk menyokong Operasi Tempur Gideon. Serangan itu mengakibatkan pemindahan paksa ribuan penduduk Palestin.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa angka korban akibat pencerobohan baharu itu telah mencecah 464 orang, termasuk kanak-kanak, dalam tempoh 24 jam. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

