Penunggang motosikal maut selepas 9 jam bertarung nyawa

KOTA KINABALU - Seorang penunggang motosikal maut selepas kira-kira sembilan jam bertarung nyawa ekoran terlibat dalam kemalangan di kawasan lampu isyarat di Jalan Lintas di sini pada Jumaat.
Lelaki berusia 30-an itu disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 tengah hari melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Perodua Axia dan motosikal jenis Honda RSX 150.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai datang dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan hendak menuju ke arah Jalan Lintas.
"Sebaik tiba di lokasi, penunggang motosikal dipercayai telah mengubah haluan dari sebelah kanan ke kiri jalan dan menyebabkan berlaku perlanggaran dengan Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia lingkungan 30-an.
"Perodua Axia itu pula telah tersorong ke hadapan dan melanggar Toyota Hilux yang sedang berhenti disebabkan lampu isyarat berwarna merah yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 60-an," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kasim berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal telah tercampak di atas jalan raya dan terperosok di bawah Perodua Axia.
"Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dihantar ke HQEI untuk rawatan selanjutnya.
"Bagaimanapun, pada jam 9 malam mangsa disahkan meninggal dunia," katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!