Malaysia rugi RM277 bilion akibat rasuah

Azam (empat dari kiri) ketika Majlis Peluncuran KFFP di Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Isnin.
Azam (empat dari kiri) ketika Majlis Peluncuran KFFP di Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Negara kerugian sebanyak RM277 bilion dalam tempoh lima tahun akibat jenayah rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, statistik itu direkodkan bagi tempoh 2018 hingga 2023 berdasarkan anggaran kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, angka itu bersamaan purata RM55 bilion setahun dan merupakan jumlah yang amat membimbangkan.

“Dalam persekitaran semasa yang kompleks, sukar diramal dan sentiasa berubah, rasuah juga telah berubah wajah menjadi lebih licik.

“Merujuk corak siasatan beberapa tahun kebelakangan ini, rasuah tidak lagi dilakukan secara terang-terangan, tetapi berselindung di sebalik taktik penipuan seperti pemalsuan dokumen perniagaan, penggunaan syarikat proksi, serta menghalalkan transaksi rasuah dengan menyamarkannya sebagai kos operasi syarikat. Contohnya melalui yuran perunding, perbelanjaan hiburan, atau kos pembangunan dan aliran wang yang disusun melalui beberapa lapisan transaksi bagi menyukarkan pengesanan jejak kewangan.

“Tipologi rasuah kini jauh lebih kompleks dan rumit. Apa yang lebih membimbangkan, hampir kesemua taktik penipuan ini melalui proses dan sistem perakaunan serta pengauditan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KFFP) di Hotel Royale Chulan, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, dan Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad.

Tambah Azam, jika proses dan sistem sedia ada tidak cukup telus atau dikendalikan oleh individu yang lemah integriti, maka ia bukan sahaja gagal berfungsi sebagai gatekeeper, malah boleh menjadi medan untuk menyembunyikan perbuatan rasuah dan menjadi enabler kepada jenayah tersebut.

Beliau berkata, situasi ini menjadikan tugas SPRM semakin mencabar dalam usaha mendedahkan jejak jenayah kewangan yang disusun dengan rapi.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, kajian oleh EMIR Research pada tahun 2023, yang turut mengambil kira beberapa sumber data laporan terbuka, menganggarkan kerugian mencecah RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun, antara tahun 1997 hingga 2022.

“Angka-angka ini bukan sekadar statistik, tetapi merupakan petunjuk jelas bagaimana rasuah yang turut membuka ruang kepada pelbagai kesalahan lain berkaitan seperti pemalsuan dokumen, manipulasi dalam penyediaan penyata kewangan, dan penyelewengan wang syarikat telah merosakkan keutuhan dasar, proses, sistem serta penyampaian kerajaan dan sektor swasta.

“Kesan akhirnya ialah ketirisan berskala besar, kehilangan keyakinan pelabur dan rakyat, serta kemunduran kemajuan negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!