Remaja parah ditikam rakan gara-gara hutang lama

MELAKA - Gara-gara isu hutang lama, seorang remaja lelaki cedera parah selepas ditikam rakannya dalam kejadian di Kampung Paya Sum, Sungai Udang di sini pada Jumaat lalu.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 17 tahun mengalami kecederaan parah akibat satu tikaman dan telah menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku selepas pertengkaran dan pergaduhan antara mangsa dan rakannya yang berusia 23 tahun berkaitan isu hutang.
“Suspek dipercayai gagal mengawal kemarahan lalu menikam mangsa, mengakibatkan mangsa parah.
“Suspek yang turut cedera, dipercayai ketika bergelut, sedang dirawat di Zon Kuning hospital yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, polis sebelum itu menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999 daripada seorang pengadu yang memaklumkan rakannya telah ditikam oleh dua suspek tidak dikenali menaiki sebuah motosikal yang tidak dapat dikenal pasti.
Namun, hasil soal siasat terhadap mangsa mendapati kejadian samun tidak berlaku, sebaliknya pergaduhan melibatkan mangsa dan suspek yang saling mengenali.
“Sepasukan polis dari Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama Cawangan D9 JSJ Kontinjen Melaka telah berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Taman Pahlawan, Sungai Udang.
“Suspek yang beralamat di Batu Pahat, Johor ditahan pada jam 6.15 petang hari yang sama dan hasil soal siasat awal, dia mengaku terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya lagi.
Tambah beliau, hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kesalahan judi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!