Warga emas maut dirempuh kereta gara-gara tukar haluan mengejut

PASIR PUTEH – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di kilometer 44.5 Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu berhampiran Pondok Polis Gaal di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, lelaki yang berusia 69 tahun dipercayai menunggang motosikal dari arah Kuala Terengganu menuju ke Pasir Puteh.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati motosikal terbabit dipercayai bergerak perlahan di bahu jalan sebelum mangsa secara tiba-tiba mengubah haluan ke kanan.
“Pada masa sama, sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki berusia 54 tahun dari arah yang sama gagal mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan motosikal mangsa.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Zon Merah hospital tersebut.
Tambahnya, pemandu kereta terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujar Zaizul Rizal, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 016-5072413 atau hadir ke balai polis berdekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!