Jurutera kilang rugi RM300,000 terpedaya skim pelaburan palsu

BUTTERWORTH – Seorang jurutera kilang mengalami kerugian kira-kira RM300,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpangkalan di media sosial awal April lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa lelaki berusia 55 tahun itu terpedaya dengan iklan pelaburan saham melalui laman Facebook, sebelum menghubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Suspek memperkenalkan skim pelaburan dikenali sebagai NBMAnx yang kononnya menawarkan pulangan tinggi dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan, Khamis.
Menurutnya, mangsa kemudiannya mendaftar sebagai ahli dalam aplikasi terbabit dan membuat tujuh transaksi pembayaran ke dalam akaun yang diberikan.
"Bagaimanapun, mangsa mula curiga selepas ingin membuat penambahan modal pelaburan berjumlah RM52,800 namun tidak dapat meneruskan transaksi selepas diberitahu pihak bank bahawa akaun berkaitan telah disekat.
“Setelah menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan atas talian, terutamanya yang diiklankan secara agresif di media sosial tanpa pengesahan pihak berautoriti.
“Jenayah penipuan pelaburan ini bukan sahaja mengancam keselamatan kewangan individu, malah boleh menggugat kestabilan ekonomi negara jika tidak ditangani dengan serius,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!