Program Mara Lasak diperluas ke seluruh daerah di Pahang

KUANTAN - Kerajaan negeri akan memperluaskan penganjuran Program Mara Lasak ke seluruh daerah di Pahang selepas kejayaan penganjuran sulung aktiviti lasak itu di Hulu Dong, Raub pada Disember tahun lalu.
Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, penganjuran Program Mara Lasak seterusnya dijangka akan diadakan di Jelai, Lipis pada awal tahun hadapan.
Menurutnya, aktiviti lasak itu terbuka kepada penyertaan orang ramai dengan sasaran lebih 1,000 peserta berbanding 500 peserta terdiri daripada 50 pasukan pada penganjuran pertama.
"Inisiatif ini sebagai menyahut titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah supaya lebih banyak aktiviti berbentuk menguji ketahanan dan lasak dianjurkan di negeri ini.
"Program Mara Lasak dengan cabaran larian sejauh 10 kilometer menempuhi pelbagai halangan termasuk denai hutan, menyeberangi sungai dan laluan berbukit itu benar-benar dapat menguji kecergasan fizikal dan mental peserta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Belia Negeri Pahang di Wisma Belia, Indera Mahkota di sini pada Sabtu.
Fadzli berkata, kerajaan negeri serius dalam pelaksanaan setiap program belia di negeri ini.
Beliau berkata, perkara itu dibuktikan melalui peruntukan besar RM3 juta setiap tahun untuk penganjuran program belia.
"Pahang antara negeri yang menyediakan peruntukan besar bagi tujuan tersebut termasuk untuk program hari belia seperti festival ini dan program retreat pelapis belia yang akan dilaksanakan pada Jun ini," katanya.
Sementara itu beliau berkata, penganjuran Festival Belia Pahang bertujuan mendekati seramai mungkin belia dan anak muda dari seluruh Pahang melalui lebih 50 pengisian sepanjang program berlangsung.
"Program selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini melibatkan 13 segmen utama antaranya sukan, kebudayaan, keusahawanan dan sebagainya yang menyentuh minat serta keperluan belia itu sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

