Bazar Ramadan, Aidilfitri 2025 terima maklum balas positif

KUALA LUMPUR – Penganjuran Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2025 oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapat maklum balas positif, khususnya daripada peniaga yang menyifatkan pelaksanaan kali ini lebih telus, teratur dan mesra peniaga.
Pelbagai pihak turut menyuarakan penghargaan terhadap usaha DBKL mengambil alih sepenuhnya pengurusan bazar di 42 lokasi seluruh ibu negara melibatkan 3,740 petak niaga dilaksanakan menerusi pendekatan 4P (Public, People, Private, Partnership).
Sebagai penghargaan atas sumbangan dan komitmen semua pihak terbabit, DBKL menganjurkan Majlis Apresiasi Petugas Bazar Ramadan dan Aidilfitri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2025.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif di sebuah hotel di sini.
"Majlis itu turut dihadiri pengurusan tertinggi dan ketua jabatan DBKL serta wakil agensi penguat kuasa dan rakan strategik," menurut kenyataan itu di laman Facebook pada Sabtu.

DBKL turut menjalin kerjasama strategik bersama Bank Muamalat Malaysia Bhd dalam usaha memperkasa keupayaan peniaga serta menjamin kemudahan sokongan sepanjang tempoh operasi bazar.
Bagi memastikan kelancaran keseluruhan penganjuran Bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, DBKL bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sehubungan itu, DBKL akan mengadakan sesi 'post-mortem' membabitkan semua pihak berkepentingan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh lagi pelaksanaan bazar pada masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

