Masjid anjur larian amal bantu mangsa letupan paip gas di Putra Heights

Masjid Nurul Iman anjur program Solidarity Fun Run untuk bantu mangsa letupan paip gas di Putra Heights.
Masjid Nurul Iman anjur program Solidarity Fun Run untuk bantu mangsa letupan paip gas di Putra Heights.
A
A
A

SUBANG JAYA – Biro Pemuda Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah di sini merancang untuk menganjurkan program Solidarity Fun Run bagi mengumpul dana membantu mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini.

Program tersebut dirangka sebagai simbol sokongan moral dan semangat kebangkitan kepada mangsa yang terjejas, khususnya anak kariah masjid berkenaan yang merupakan antara kelompok paling terkesan.

Letupan yang menggemparkan itu bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda, malah turut menjejaskan sumber pendapatan beberapa keluarga apabila rumah sewa hangus terbakar, bengkel dan perniagaan tidak dapat beroperasi, serta kenderaan termasuk bas sekolah musnah dalam kebakaran.

Timbalan Nazir Masjid Nurul Iman, Badly Nordin berkata, pihaknya kini sedang dalam proses membentangkan kertas kerja dan giat mencari penaja bagi menjayakan program berkenaan.

“Kami membuka peluang kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan individu yang ingin menyumbang atau bekerjasama dalam menjayakan program ini.

"Mereka boleh terus menghubungi saya di talian 013-3335272,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Masjid Nurul Iman pada Sabtu.

Tambah beliau, inisiatif itu diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada semua mangsa untuk bangkit dan meneruskan kehidupan, selain mengukuhkan solidariti komuniti dalam menghadapi dugaan luar biasa tersebut.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut digalakkan untuk menghubungi pihak pengurusan masjid secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!