Lelaki maut dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan

BENTONG - [DIKEMAS KINI] Niat seorang lelaki membantu mangsa kemalangan berakhir dengan tragedi apabila maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer (KM) 69.2 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur hala Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pihak hospital, mangsa berusia 47 tahun meninggal dunia kira-kira jam 7 petang hari sama semasa menerima rawatan di Hospital Bentong.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 5.30 petang.
"Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Proton Preve dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kuala Lumpur
"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu telah terbabas ke dan masuk ke dalam longkang," katanya.
Ujarnya, beberapa kenderaan yang lalu di kawasan tersebut telah berhenti dan membantu kereta yang terbabas.
Jelasnya, semasa sedang mengawal lalu lintas, salah sebuah kereta iaitu jenis Honda Civic tidak dapat mengawal lalu telah merempuh dua mangsa di tempat kejadian.
"Akibat kemalangan tersebut, empat mangsa telah dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.Salah seorang mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan," jelasnya lagi.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian itu tampil bagi membantu siasatan.
"Kita juga ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika membantu mangsa kemalangan.
"Hubungi pihak konsesi lebuh raya atau talian kecemasan sekiranya terbabit terbabit atau melihat kemalangan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

