Pasangan warga Singapura ditemui mati di rumah inap

Pasangan warga Singapura ditemui mati di sebuah rumah inap di Taman Taynton View, Cheras pada Jumaat. - Gambar hiasan
Pasangan warga Singapura ditemui mati di sebuah rumah inap di Taman Taynton View, Cheras pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua individu warga Singapura ditemui mati di sebuah rumah inap di Taman Taynton View, Cheras, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.53 tengah hari memaklumkan mengenai seorang lelaki dan wanita tidak sedarkan diri di rumah inap berkenaan.

"Pekerja rumah inap memaklumkan tiba di lokasi pada jam 11.15 pagi dan mendapati pintu utama berkunci, manakala kasut dua individu itu masih berada di dalam," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Aidil berkata, selepas beberapa kali mengetuk pintu tanpa sebarang jawapan, pekerja menghubungi pengurus rumah inap yang kemudian mengarahkannya membuka pintu menggunakan kunci pendua.

"Sebaik masuk ke dalam premis, pekerja mendapati semua peralatan elektrik termasuk pendingin hawa, kipas dan televisyen masih terpasang.

"Pekerja kemudiannya ke salah satu bilik dan mendapati pintu serta tingkap ditutup rapat menggunakan pita pelekat dan plastik kanvas," katanya.

Menurutnya, pekerja membuka tingkap dan ternampak kedua-dua mangsa terbaring tidak sedarkan diri di katil dalam keadaan bilik berbau busuk.

"Pemeriksaan lanjut pegawai penyiasat mendapati tiada sebarang kecederaan luaran pada tubuh mangsa dan tiada unsur jenayah dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua individu lengkap berpakaian, namun jasad mereka dalam keadaan mulai mereput dan berbau," katanya.

Beliau berkata, kematian kedua-dua individu berusia 33 dan 43 tahun disahkan pegawai perubatan jam 2.22 petang hari sama.

"Turut ditemui dalam bilik tersebut ialah pemanggang barbeku mengandungi sisa arang, dua kotak arang, serta dadah dipercayai jenis ketamin diletakkan dalam bekas piring keluli," katanya.

Aidil berkata, tiada rakaman kamera litar tertutup di premis berkenaan.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!