Selangor sasar kutipan hasil cecah RM5 bilion menjelang 2029

SHAH ALAM - Kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil negeri mencapai RM3 bilion dalam masa terdekat dan mampu mencecah RM5 bilion menjelang 2029.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran itu dapat dicapai dengan iltizam serta kerja kuat semua pihak dan seterusnya menjadikan Selangor terus kekal maju di negara ini.

“Alhamdulillah, Selangor terus mencatat rekod pencapaian tertinggi dalam sejarah dengan kutipan hasil negeri berjumlah RM2.867 bilion pada tahun lalu.
“Ini bukti kesungguhan dan kecekapan jentera pentadbiran negeri dalam mengurus sumber dengan cekap demi kesejahteraan rakyat.
“Tetapi, saya ingatkan semua tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian ini kerana saya meletakkan sasaran baharu iaitu RM3 bilion dalam tempoh terdekat dan RM5 bilion menjelang 2029,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Untuk rekod, Selangor mencatat hasil akhir pendapatan 2024 berjumlah RM2.858 bilion tertinggi dalam sejarah negeri ini yang mana ia mengatasi pencapaian terbaik RM2.811 bilion pada 2017.
Negeri itu memperoleh kutipan hasil RM2.7 bilion pada 2023, RM2.5 bilion (2022) dan RM2.3 bilion pada 2021, didorong perkembangan positif ekonomi dan kemasukan pelaburan yang agresif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
