Perak sasar kutipan hasil cukai cecah RM1 bilion tahun ini

IPOH - Kerajaan Perak menyasarkan kutipan hasil cukai negeri terus meningkat sehingga RM991 juta bagi tahun 2025 susulan penggunaan sistem e-Tanah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejayaan sistem berkenaan dapat dilihat melalui peningkatan hasil kutipan cukai tanah daripada RM606.6 juta pada tahun 2020 kepada RM913.9 juta pada tahun 2024.
Menurutnya, peningkatan tersebut sangat ketara dan ia membuktikan keberkesanan sistem berkenaan yang boleh mengoptimumkan urusan pentadbiran tanah ketika ini.
"Dalam mesyuarat semalam (Jumaat) kita putuskan sekurang-kurangnya RM991 juta cukai tanah sahaja maknanya daripada pejabat tanah daerah kepada PTG (Pejabat Tanah dan Galian) berjumlah RM991 juta.
"Kita pasti ia dapat dicapai sebab dahulu urusan berkaitan tanah ini kita buat secara manual tetapi sekarang dengan sistem ini pegawai daripada lapangan boleh terus menghantar laporan dengan menggunakan alat tersebut," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Hari e-Tanah Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.
Sementara itu dalam ucapannya, Saarani berkata, transformasi pendigitalan dalam pentadbiran tanah bukan sahaja memberikan kemudahan kepada rakyat dalam urusan harian tetapi juga memainkan peranan besar dalam mencapai matlamat strategik.
Jelasnya, dengan sistem yang moden dan inovatif, proses seperti pendaftaran dan pemindahan hak milik dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan mudah.
Ujarnya, kepercayaan pelabur, khususnya pelabur antarabangsa juga dapat dipertingkatkan serta dipenuhi kerana mereka menuntut jaminan dalam pengurusan serta pentadbiran yang sistematik dan boleh dipercayai.
Menurutnya, pendigitalan juga memberikan sumbangan besar kepada pembangunan mampan sekali gus menjadikan Perak sebagai model negeri yang berjaya memanfaatkan teknologi untuk kesejahteraan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


